JAINJ cekup 3 tukang urut tawar servis 'extra'

JAINJ cekup 3 tukang urut tawar servis 'extra'

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menahan tiga tukang urut wanita di sebuah premis di Jalan Meldrum di sini kelmarin selepas menawarkan khidmat ‘tambahan’ kepada pelanggan lelaki.

Jurucakapnya berkata, tindakan dilakukan menerusi Ops Merah yang diadakan pada jam 5 petang membabitkan 20 pegawai penguat kuasa jabatan berkenaan.

Menurutnya, seorang tukang urut warga tempatan berusia 40 tahun ditemukan memakai baju ketat dan berseluar dalam ketika pemeriksaan dilakukan di premis itu.

Katanya, ketika itu, wanita berkenaan sedang menawarkan perkhidmatan urutan badan kepada seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun.

“Pelanggan berkenaan juga hanya berseluar dalam dan menyatakan mengunjungi pusat urutan itu selepas tamat waktu bekerja.

“Perkhidmatan urutan badan ditawarkan di dalam bilik yang hanya ditutup dengan tabir,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, dua tukang urut warga Indonesia yang berusia antara 30 hingga 40 tahun juga ditahan di premis sama.

“Mereka ditemukan bersama pelanggan bukan Islam.

“Difahamkan mereka mengenakan bayaran RM60 bagi urutan badan, manakala tambahan RM40 bagi urut batin,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan pihaknya mendapati tukang urut warga asing itu tiada permit kerja manakala hanya memiliki pas lawatan sosial.

“Mereka menyatakan berulang-alik dari Indonesia ke Johor Bahru Hampir setiap bulan bagi memenuhi temu janji pelanggan.

“Kesemua disiasat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 kerana berkhalwat di dalam bilik,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top