mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Perkhidmatan tren Keretapi Tanah Melayu (KTM) Komuter mengalami gangguan susulan insiden alat talian atas terputus di antara Salak Selatan-Serdang pagi ini.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berkata, gangguan berlaku jam 7.23 pagi itu menyebabkan laluan berkenaan tidak dapat digunakan buat sementara waktu, sekali gus menjejaskan kelancaran operasi perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan KTM Komuter di sektor terbabit.
Menurutnya, sektor itu kini beroperasi menggunakan satu landasan berikutan satu lagi landasan masih berada di bawah kerja-kerja menaik taraf landasan (KVDT), menyebabkan pergerakan tren terhad semasa insiden berlaku.
“Berikutan gangguan ini, tren KTM Komuter dari arah Pulau Sebang / Sungai Gadut menuju Batu Caves ditamatkan di Stesen Kajang.
“Sementara itu, tren komuter dari Batu Caves menuju ke arah selatan ditamatkan di Stesen KL Sentral,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, laluan antara Kajang – KL Sentral tidak dapat dilalui pada ketika ini dan penumpang disarankan menggunakan pengangkutan alternatif sementara kerja-kerja baik pulih sedang dilaksanakan.
“Perkhidmatan ETS EP9511 (KL Sentral – Kluang) turut terjejas susulan laluan yang tidak boleh dilalui. Tren berkenaan mengalami kelewatan melebihi 120 minit dan ditarik menggunakan lokomotif bantuan dari Salak Selatan ke Stesen Kajang pada jam 9.40 pagi bagi tujuan pemindahan penumpang dan keselamatan operasi.
“Perkhidmatan ETS EG9420 (Segamat – Padang Besar) juga ditarik menggunakan lokomotif bantuan dari Stesen Kajang ke Stesen Bandar Tasik Selatan dan seterusnya ke Stesen Salak Selatan sebelum meneruskan perjalanan.
“Selain itu, ETS EP9510 (Kluang – KL Sentral) turut ditamatkan perkhidmatannya di Stesen Kajang dan penumpang dinasihatkan meneruskan perjalanan menggunakan pengangkutan alternatif,” katanya.
Menurut KTMB, penumpang tren ini boleh memohon pemulangan perbezaan tambang ETS mengikut terma dan syarat yang sedia ada.
“KTMB juga ingin memaklumkan bahawa tren ETS EG9321 (Butterworth – Segamat) akan ditarik menggunakan lokomotif bantuan dari Salak Selatan ke Stesen Kajang sebagai sebahagian daripada pelan pengalihan tren di sektor terjejas.
“Penumpang yang terkesan sudah dimaklumkan mengenai kelewatan ini melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) sebagai langkah pemberitahuan awal.
“Penumpang ETS yang memilih untuk tidak meneruskan perjalanan akibat kelewatan melebihi dua jam boleh mendapatkan pemulangan tambang penuh melalui aplikasi KITS atau di kaunter tiket KTMB,” katanya.
Tambahnya, pasukan teknikal KTMB kini berada di lokasi dan kerja-kerja pembaikan sedang dilaksanakan secepat mungkin bagi memulihkan operasi tren.
“KTMB akan mengemas kini perkembangan situasi ini dari semasa ke semasa melalui saluran media sosial rasmi KTMB.
“Penumpang yang memerlukan bantuan boleh merujuk kepada kakitangan stesen yang bertugas atau menghubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-9779 1200 untuk maklumat lanjut.
“KTMB memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami dan amat menghargai kesabaran serta kerjasama para penumpang sepanjang tempoh gangguan ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




