norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi juga anggota kumpulan nasyid UNIC, Dr Fitri Haris, 41, mendedahkan pengalaman hitam dilalui apabila mendakwa pernah dua kali ‘diganggu’ oleh golongan sejenis termasuk individu berpangkat Datuk.
Menerusi hantaran dibuat di Facebook miliknya, Dr Fitri yang turut trauma akibat perkara itu memaklumkan dia tergelak sambil marah apabila mengingati semula kejadian ‘pelik’ berkenaan.
“Saya pernah kena ngorat oleh ustaz dan Datuk. Jadi bila polis tangkap yang ‘professional’, ‘berpangkat’, ‘berjawatan’ ni.. memang tak pelik langsung.
“Saya terus teringat dua pengalaman pelik dalam hidup saya yang sampai hari ini kalau ingat pun saya gelak sambil marah.
“Pertama, pengalaman dengan seorang ustaz. Ya, ustaz betul, bukan ustaz TikTok. Dia tiba-tiba tanya saya: ‘Fitri open minded tak?’ pastu hantar gambar (tidak elok) dia kat saya.
“Saya waktu tu terkejut macam baru kena siram air sejuk. Dalam kepala saya hanya ada satu ayat: ‘Ustaz… soalan tu bukan dalam silibus agama’,” kongsinya menerusi hantaran itu.
Menurutnya, dia kemudian mengalami episod kedua apabila ‘ditest’ seorang lelaki bergelar Datuk pula.
“Yang ni lagi hebat, setiap hari mesej manja… lepas tu perlahan-lahan naik level jadi mesej pelik-pelik, lucah-lucah, emoji pun sampai saya sendiri tak pernah guna.
“Saya hanya mampu fikir: ‘Datuk, tolonglah… saya ni pensyarah, bukan operator hotline percintaan jam 12 malam’.
“Akhirnya… saya block terus. Tak sempat fikir panjang. Sampai sekarang tak menyesal,” katanya.
Justeru, katanya dia tidak berasa hairan apabila melihat gambar lebih 100 lelaki bertuala ditahan dalam serbuan di sebuah spa, baru-baru ini kerana ada dalam kalangan mereka adalah orang berpengaruh.
“Saya langsung tak hairan kalau yang kena tangkap pun ada yang ‘berjawatan’, ‘berpangkat’, atau ‘berpengalaman manja-manja’.
“Islam haramkan, Nabi tak mengaku ummat dan saya benci gila puak-puak macam ni,” jelasnya.
Katanya, pengalaman berlaku depan mata dan dirinya sebagai lelaki yang mengalami gangguan peribadi sebegitu tidak pernah dilupakan hingga kini.
“Benci sebab ia berlaku depan mata saya dalam bentuk gangguan peribadi. Benci sebab ia disokong oleh orang yang masyarakat anggap ‘mulia’. Benci sebab ia merosakkan nilai, maruah dan akhlak.
“Dan paling saya benci, bila orang salah anggap diam itu tanda suka, padahal diam saya sebab cuba jaga adab!
“Kalau ada lagi yang cuba tanya saya ‘open minded tak?’, saya bagi terus jawapan siap pakej: ‘Saya open minded dalam ilmu, bukan dalam benda luar tabii’,” katanya.
Dr Fitri menjelaskan, dia bagaimanapun sangat berharap serbuan dilakukan pihak berkuasa untuk membendung atau menangani aktiviti gejala songsang sebegitu dapat membuka mata semua orang.
“Benda salah tetap salah, walaupun pakai tuala mahal!,” tulisnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




