Semangat mahu duduki SPM, Haziq, bapa redah banjir ke asrama

Semangat mahu duduki SPM, Haziq, bapa redah banjir ke asrama

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Lipis: “Saya anggap ia sebagai ujian yang Allah SWT beri buat saya. Apa saya lakukan itu pun usaha untuk diri sendiri juga, bukan orang lain,”.

Begitu kata Haziq Hazwan Yusoff, 17, yang mendapat perhatian warganet selepas tular video di laman sosial menunjukkannya berenang meredah banjir untuk ke asrama bagi menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Video itu dikongsikan bapanya, Yusoff Mat Dakim, 42, yang turut berenang sambil menolak tong berisi beg sekolah.

Berkongsi kisah sebenar, Haziq Hazwan dari Kampung Kuala Kechau yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford, Kuala Lipis, di sini berkata, video itu dirakam adiknya, Muhammad Hazim Yusoff, 10, dari tebing kawasan berhampiran pada Sabtu lalu.

Menurut Haziq Hazwan, dia dan bapanya berenang meredah banjir kerana kawasan berkenaan yang tidak boleh diakses oleh bot.

“Rumah saya hampir dinaiki air akibat banjir jadi itu sebabnya kena keluar ke asrama lebih awal. Ikutkan keluarga saya pun ada bot sendiri tapi tak boleh digunakan di kawasan berkenaan.

“Jadi kena redah banjir sebelum ayah bawa saya ke asrama menaiki kereta yang sudah diletakkan di tempat tinggi.

“Air cecah paras hidung juga tapi syukur kerana saya dengan ayah dapat berenang dengan selamat,” katanya kepada Harian Metro.

Haziq Hazwan berkata, itu bukan kali pertama dia meredah banjir kerana kawasan berkenaan memang kerap dinaiki air.

“Cuma ini kali pertama redah banjir untuk ke asrama lebih awal bagi menduduki SPM semalam.

“Bukan salah pihak sekolah pun kerana saya dengan ayah yang ambil inisiatif sendiri redah banjir kerana laluan berkenaan tak boleh diakses.

“Jadi saya harap yang menonton video berkenaan tak salah faham atau salahkan sesiapa dan mungkin orang kata saya risikokan diri. Tapi saya tahu risiko yang saya ambil kerana jika boleh bahayakan diri tak mungkin saya redah.

“Apa pun, saya berdoa semoga perjalanan saya menduduki SPM dipermudahkan kerana nak dapat 9A. Diharap calon SPM yang senasib juga bertabah kerana mungkin ujian itu kunci kejayaan buat kita semua,” katanya.

Sementara itu, bapanya, Yusoff berkata rumahnya hampir dinaiki dan tidak terfikir meminta bantuan sesiapa kerana sebelum itu sibuk menyelamatkan barang di rumah.

“Banyak yang saya nak fikir waktu itu kerana pada masa sama nak hantar anak ke asrama jadi redah saja banjir tanpa sempat minta tolong sesiapa.

“Kawasan saya dan anak berenang bukan sungai tapi jalan keluar ke bandar dan sebab itu kami yakin boleh berenang kerana ada tempat tak dalam.

“Saya tak salahkan pihak sekolah pun kerana mungkin mereka tak tahu kawasan rumah kami banjir sebab air naik terlalu cepat. Apa pun, kami sudah selamat dan terima kasih kepada yang mendoakan serta ambil berat dengan anak saya,” katanya.

Sementara itu, isterinya, Rozila mengakui tersentuh melihat semangat Haziq Hazwan kerana sanggup meredah banjir untuk pulang ke asrama dan terharu dengan pengorbanan suami menemani anak mereka.

“Kami tak sangka video itu akan tular… jujurnya kami tak salahkan mana-mana pihak pun kerana bot memang tak boleh nak lalu di situ.

“Anak dengan suami memang boleh berenang dan jarak nak ke tempat tinggi pun tak jauh. Itu sebabnya mereka redah saja.

“Saya anggap apa yang berlaku sebagai ujian buat anak dan menjadi asbab dia mendapat keputusan cemerlang dalam SPM nanti,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top