am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jawatankuasa Khas mengenai Rasuah (JKmR) membentangkan dan menyerahkan Laporan Tahunan JKmR Tahun 2024 kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
Suruhanjaya Pencegahan Pencegahan Rasuah (SPRM) dalam kenyataan berkata, ia selaras dengan tanggungjawabnya yang diperuntukkan mengikut Seksyen 14, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] iaitu menasihati Perdana Menteri mengenai apa-apa aspek masalah rasuah di Malaysia.
Menurutnya, pembentangan itu merangkumi penelitian JKmR terhadap Laporan Tahunan SPRM meliputi aspek penguatkuasaan, pencegahan, dan pengurusan serta dapatan pemeriksaan daripada ulasan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) bagi 2024.
“JKmR turut mengemukakan syor kepada Perdana Menteri berkaitan usaha memperkukuh keberkesanan SPRM secara menyeluruh dan holistik, selaras usaha negara membanteras rasuah dan memantapkan integriti pentadbiran awam termasuk cadangan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Pencegahan Rasuah (SPPR).
“JKmR menzahirkan harapan supaya setiap cadangan yang dikemukakan dalam laporan ini diberi pertimbangan sewajarnya dan diterjemahkan kepada tindakan yang berimpak serta menyeluruh demi kepentingan negara,” katanya.
Kenyataan itu berkata, ahli JKmR yang juga wakil rakyat yang mewakili suara masyarakat, sentiasa mengalu-alukan pandangan dan cadangan daripada orang awam dalam meningkatkan keberkesanan SPRM melaksanakan mandatnya.
Katanya, orang ramai boleh berbuat sedemikian dengan mengemukakan pandangan atau cadangan melalui e-mel di alamat berikut: jkmr@sprm.gov.my.
© New Straits Times Press (M) Bhd




