am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Lelaki warga emas ditemukan meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung ketika menunggang basikal di Kampung Tapang, di sini.
Difahamkan mangsa yang berusia 64 tahun dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli basikal terbabit di Kedai Lalat sebelum ditemukan tidak sedarkan diri di hadapan sebuah premis menjual cat di lokasi.
Menurut saksi, Tuan Mazli Tuan Yaacob, 49, dia ketika itu berada di kawasan sekitar kira-kira jam 10 lagi sebelum dipanggil pemilik premis yang memberitahu ada seorang lelaki terbaring di hadapan kedainya ketika ingin membuka premis terbabit.
“Kami berdua melihat mangsa yang dipercayai sudah meninggal dunia dan wajahnya pucat kebiruan selain keluar darah daripada hidungnya.
“Kami tidak berani untuk menyentuh atau memberi bantuan dan segera menghubungi pihak polis.
“Turut dijumpai resit pembelian basikal dipercayai yang ditunggangnya itu memandangkan kondisinya masih baharu,” katanya.
Difahamkan, mangsa mempunyai sejarah penyakit jantung dan sering mendapatkan rawatan sejak dua tahun lalu.
Mayatnya dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini untuk proses bedah siasat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




