Muezza Education sasar 50 cawangan baharu swimming dan soccer menjelang 2026

Muezza Education  sasar 50 cawangan baharu swimming dan soccer menjelang 2026

Kuala Lumpur: Muezza Education Group mencatat pencapaian penting pada 2025 apabila berjaya membuka 100 cawangan aktif di seluruh negara, dengan lebih 5,000 pelajar terbabit dalam pelbagai program pendidikan sukan yang ditawarkan.

Sebagai peneraju dalam pendidikan sukan moden, Muezza menyediakan program seperti Muezza Archery, Muezza Swimming dan Foxy Academy yang berstruktur, selamat dan memberi penekanan kepada pembangunan karakter pelajar.

Ketua Pegawai Eksekutif Muezza Education Group, Tuan Anas Azmi, berkata kejayaan ini membuktikan komitmen pihaknya dalam menjadikan pendidikan sukan platform untuk membentuk generasi muda yang berdisiplin, sihat dan yakin diri.

“Tahun 2025 benar-benar menjadi bukti bahawa pendidikan sukan mampu mengasah disiplin, kemahiran sosial dan keyakinan diri pelajar. Kami berterima kasih atas sokongan ibu bapa dan rakan niaga yang turut memainkan peranan penting,” katanya.

Melihat permintaan yang semakin tinggi, Muezza mensasarkan pembukaan 50 cawangan baharu bagi dua program utama iaitu Muezza Swimming dan Foxy Academy menjelang 2026, merangkumi pelbagai negeri di seluruh Malaysia.

Program renang khususnya ditumpukan untuk keselamatan air, pembangunan kemahiran motor halus, serta membina disiplin dan keyakinan diri anak-anak, manakala Foxy Academy menekankan aspek pembangunan fizikal dan sahsiah melalui sukan bola sepak.

Bagi merealisasikan sasaran itu, Muezza membuka peluang kepada individu dan syarikat berminat untuk menjadi rakan niaga, dengan menyediakan model perniagaan terbukti, sistem latihan lengkap, manual operasi serta sokongan pemasaran daripada ibu pejabat.

Selain itu, kurikulum berenang dan bola sepak yang tersusun serta keselamatan pelajar menjadi keutamaan, sekali gus memastikan pengalaman pembelajaran menyeronokkan tetapi berkesan dalam membina kemahiran hidup.

Tuan Anas Azmi menegaskan, Muezza Swimming dan Foxy Soccer dijangka berkembang menjadi program pilihan utama keluarga dalam masa terdekat, dengan fokus kepada pembangunan generasi muda yang berdisiplin dan berkeyakinan tinggi.

Muezza Education terus berpegang pada visi untuk menyediakan pendidikan sukan yang bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga membina sahsiah, kemahiran hidup dan disiplin melalui pengalaman pembelajaran yang selamat, selaras dengan misi pendidikan sukan untuk semua.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top