Kuala Lumpur: Kejohanan Hoki 6 & 7 Sebelah Piala TNB Thunderbolts 2025 bukan sekadar pertandingan, tetapi medan untuk mencungkil bakat muda dan membina generasi pemain hoki masa depan.
Acara yang berlangsung di Padang Kilat TNB Bangsar pada 1 dan 2 November lalu menampilkan kategori Bawah-12 dan Bawah-18, lelaki dan perempuan, dengan penyertaan lebih 32 pasukan dari seluruh negara.
Kejohanan itu memberi platform kompetitif untuk pemain muda menyerlahkan bakat, membina keyakinan dan kemahiran dalam suasana pertandingan sebenar.
Ia juga memperkasa pembangunan akar umbi hoki Malaysia, menarik penyertaan besar dari peringkat sekolah serta menyokong pembangunan sukan hoki remaja negara, selari dengan usaha TNB melahirkan generasi atlet pelapis.
Antara aksi menarik kategori B-18 lelaki dan perempuan.
Guru Sekolah Kebangsaan Taman Bersatu, Simpang Pulai, Perak, Anuar Ibrahim berkata, kejohanan ini menjadi medan terbaik untuk anak-anak mengembangkan bakat ke tahap lebih tinggi dan secara tidak langsung menanam cita-cita untuk mewakili negara satu hari nanti.
“Mereka bukan sekadar belajar asas permainan, tapi dapat rasa suasana kompetitif sebenar yang sukar diperoleh di tempat lain,” katanya selepas pasukannya menjuarai kategori Super Pool Bawah-12.
Sekitar aksi pemain B-12 lelaki dan perempuan.
Anuar mengetuai dua pasukan bawah 12 tahun, BER-1 Girls X yang muncul juara Super Pool, dan BER-1 Girls Y yang meraih tempat ketiga Premier Pool, memuji usaha TNB yang menyediakan hadiah menarik, termasuk RM3,000 untuk juara Super Pool, kit lengkap, sarapan dan yuran yang sangat berbaloi.
“Kejohanan ini membakar semangat budak-budak. Habis saja pertandingan, mereka sendiri dah mula berbincang nak kuatkan pasukan untuk tahun depan.
Budak-budak kecil pun bercakap pasal nak rampas balik gelaran johan, itu yang buat saya bangga,” katanya.
Uniknya dalam pasukan BER-1 ini adalah sebahagian besar pemain yang diturunkan adalah murid tahun lima dengan rata-ratanya lebih muda daripada pesaing, namun berjaya membuktikan keunggulan mereka apabila lima daripadanya turut terpilih mewakili Perak pada Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) baru-baru ini.
Beliau turut menaruh harapan tinggi pasukannya menerima sokongan peralatan daripada program Thunderbolts memandangkan mereka bergantung sepenuhnya kepada sumbangan ibu bapa.
Sementara itu, Kelab Hoki Anak Rimau (ARHC) mencipta sejarah apabila kedua-dua pasukan B-12 mereka, ARHC Black dan ARHC Blue, mara ke pentas final kategori Super Pool lelaki B-12 dengan ARHC Black muncul juara.
Jurulatih dan guru Sekolah Kebangsaan Desa Petaling, Kuala Lumpur, Muhammad Amirul Arif Baharun berkata, kejohanan ini menyediakan platform terbaik buat pemain muda mengembang dan mengasah bakat mereka.
“Kejohanan TNB Thunderbolts memberi peluang besar kepada pemain untuk pendedahan di peringkat tinggi.
“Saya gembira mereka berjaya mengawal keadaan dan belajar mengadaptasi apa yang dipelajari di dalam padang,” katanya.
ARHC menghantar tiga pasukan lelaki dan tiga pasukan perempuan, menunjukkan kesungguhan kelab dalam usaha memberi peluang kepada semua pemain akar umbi.
“Kehebatan TNB Thunderbolts bukan sekadar pertandingan, malah persaingannya sangat kompetitif. Semua pasukan bermain dengan standard tinggi, secara langsung membantu pembangunan bakat akar umbi dan menjadi sumber pemain masa depan negara,” katanya. Bagi kategori B-18, pasukan PPHT Cheetah muncul juara Super Pool, manakala PPHT Leopard tersingkir di suku akhir.
Jurulatihnya, Muhammad Syukuri Mazlan berkata, ini kali pertama pasukan mereka menyertai kejohanan berprestij TNB Thunderbolts dan ia memberi pengalaman sebenar pertandingan bertaraf nasional kepada pemain.
Syukuri menekankan kehadiran jurulatih TNB dan bekas pemain Olimpik seperti Nor Azlan Bakar memberi impak positif kepada pemain muda.
“Mereka bukan sahaja mengajar taktikal, tetapi juga disiplin dan cara membuat larian efektif,” katanya.
Beliau turut memuji inisiatif program anak angkat TNB, yang membantu mengenal pasti pemain berkualiti melalui sesi pencarian bakat dan memberi semangat kerana mewakili TNB adalah satu tanggungjawab besar.
Kejohanan ini juga menjadi medan untuk pemain muda menguji diri dalam suasana kompetitif, belajar menangani tekanan, bermain mengikut pelan, dan ,mengekalkan mentaliti positif.
Melihat masa depan, Syukuri berkata, pasukannya akan terus menyertai kejohanan jemputan dan mengekalkan prestasi dalam Liga Super Program Pembangunan Hoki Kebangsaan (NHDP) 2026.
Kejohanan Hoki 6 & 7 Sebelah Piala TNB Thunderbolts 2025 membuktikan ia memberi impak sebenar terhadap pembinaan generasi hoki masa depan, merangsang minat akar umbi dan memupuk kecintaan terhadap sukan hoki sejak dari peringkat sekolah rendah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




