Anak peniaga pasar malam puas lihat emak abah tersenyum di hari konvokesyen

Anak peniaga pasar malam puas lihat emak abah tersenyum di hari konvokesyen

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Shah Alam: “Tipu kalau kata tak pernah ada yang perlekehkan kerana saya bukan datang daripada keluarga senang.

“Tapi saya bangga kerana dapat belajar sampai universiti dengan hasil titik peluh emak dan abah sebagai peniaga pasar malam,” kata Muhammad Ariff Bahnan ketika menceritakan cabaran dilalui sejak kecil hingga dapat menamatkan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Seni.

Muhammad Ariff, 24, berkata, segala kepahitan yang pernah dirasai bertukar menjadi kemanisan selepas menerima skrol ijazahnya ketika menghadiri Majlis Konvokesyen ke-27 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di kampus dekat Tanjung Malim, Perak pada 12 November lalu.

Menceritakan kisahnya, Muhammad Ariff yang menetap di Seksyen 24, dekat sini berkata, kejayaan itu tidak mungkin dikecapi tanpa izin Allah SWT dan pengorbanan ibu, Noor Hayati Sulaiman, 59, juga bapanya, Bahnan Omar, 62, sejak dia kecil hingga dewasa.

Lantaran itu, Muhammad Ariff menganggap segulung ijazah diterima itu bukan sekadar sijil tapi besar maknanya kerana bukti kasih sayang ibu bapanya yang sanggup bersusah payah dalam memastikan dia menjejakkan kaki ke menara gading.

“Kepuasan saya adalah melihat emak abah tersenyum kegembiraan pada hari konvokesyen itu. Boleh nampak wajah emak abah bangga kerana penat lelah mereka selama ini tidak sia-sia.

“Sebagai anak, saya bersyukur kerana dapat gembirkan mereka kerana mengenangkan banyak duit yang sudah emak dan abah belanjakan untuk saya sepanjang tempoh pengajian,” katanya kepada Harian Metro.

Menceritakan pengalamannya sebelum sampai ke tahap sekarang, Muhammad Ariff berkata, dia menjadi saksi ibu bapanya berusaha keras bagi memastikan dia dapat menyambung pengajian.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, dia tahu kesukaran dilalui kerana pernah membantu ibu bapanya berniaga sejak di bangku sekolah.

“Apa yang saya tahu, sejak lahir saya di bawa ke gerai dan ketika berumur tujuh tahun, saya sudah bantu emak dengan abah menjual pisang goreng juga air balang.

“Ketika itu, emak dan abah berniaga dengan buka gerai di tepi jalan. Waktu saya berumur 10 tahun, emak dan abah mula berniaga di pasar malam pula dengan menjual burger juga roti John.

“Emak dan abah ajar saya pasang khemah… daripada situ juga, saya belajar erti penatnya nak mencari rezeki kerana bukan setiap hari indah kerana ada masanya susah dapat pelanggan… bila tak habis, kena sedekah kepada orang lain,” katanya.

Sebagai anak, Muhammad Ariff tidak pernah malu dengan pekerjaan ibu bapanya .

Bagaimanapun, Muhammad Ariff mengakui ada individu yang pernah memandang rendah keluarganya hanya kerana mencari rezeki di pasar malam.

“Waktu sekolah dulu, macam biasalah, cikgu akan tanya emak dan abah kerja apa.

“Jadi saya jawab saja dan bila beritahu yang sebenar, ada rakan tanya kenapa emak dengan abah kerja biasa saja.

“Reaksi mereka itu buat saya jadi trauma nak jawab soalan cikgu bukan sebab malu tapi tak nak ada yang perlekehkan.

“Hakikatnya, walau macam mana pun emak dan abah, mereka tak pernah mengeluh, tetap tersenyum dan cuba tunaikan apa kami adik beradik nak makan walaupun pernah nak beli ayam pun tak mampu,” katanya yang pernah mengulangkaji pelajaran di tapak niaga ketika membantu ibu bapanya berniaga di pasar malam.

Muhammad Ariff berkata, sampai akhir hayat pun, dia tidak mampu membalas jasa ibu bapanya jadi akan cuba yang terbaik untuk menggembirakan mereka.

“Tak dapat saya nak balas jasa, pengorbanan dan penat lelah emak abah jadi berdoa kepada Allah SWT semoga kurniakan syurga tertinggi buat mereka.

“Jika saya pun diperlekehkan, mungkin emak dan abah rasai pengalaman sama atau lebih teruk lagi tapi tetap tabah besarkan saya dengan adik beradik.

“Selepas ini, saya akan teruskan kerjaya sebagai pendidik dan jika ada rezeki nak sambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Buat anak muda di luar sana, jangan malu dengan pekerjaan ibu bapa kita kerana kena bangga selagi mana mereka mencari rezeki yang halal,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top