LONDON: Abang Paul Pogba, Mathias menggesa adiknya itu meninggalkan Manchester United dan menyertai revolusi Joan Laporta di Barcelona.
Pemain Perancis itu menunjukkan prestasi memberangsangkan di United musim ini dan tampak lebih baik berbanding sebelumnya.
Namun abangnya kembali mencetus spekulasi perpindahan dan berharap bintang United itu akan menyertai Barcelona.
Kontrak Pogba, 28, akan berakhir tahun depan dan dia dilaporkan menuntut gaji 400,000 pound (RM2.35 juta) seminggu untuk terus kekal bersama United.
United enggan memenuhi permintaannya itu sehingga mencetus spekulasi perpindahan Pogba.
Juventus, Real Madrid dan Barca dikaitkan dengan perpindahan Pogba tetapi masalah kewangan memaksa kelab-kelab Eropah mencari alternatif lebih menguntungkan.
Bagaimanapun presiden baharu Barca, Laporta bertekad mencetus pembaharuan dengan membawa masuk pemain-pemain berkualiti sebaik musim ini berakhir.
Mathias menggesa adiknya mengambil kesempatan untuk menjadi bintang bersama gergasi Catalan itu.
Ketika ditanya media berkenaan situasi adiknya, Mathias yang juga pemain NK Tabor Sezana berkata: “Sebaik dia memenangi Liga Europa, kita akan bercakap mengenainya.
“Saya tidak tahu apa-apa, tetapi saya berada di tempatnya, saya akan menyertai Barca.”
Hanya sembilan pemain – termasuk Marc-Andre Ter Stegen, Lionel Messi, Ansu Fati dan Frenkie De Jong – dikatakan kekal dalam perancangan Laporta. – AGENSI
© New Straits Times Press (M) Bhd




