Putra perkukuh asas akar umbi bentuk pemain ragbi berkaliber

Putra perkukuh asas akar umbi bentuk pemain ragbi berkaliber

aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pasukan ragbi Putra memilih pendekatan pembangunan jangka panjang apabila menjadikan setiap kejohanan disertai sebagai medan membentuk pemain bawah 13 tahun (B-13) menjadi tonggak masa depan.

Jurulatih Putra, Mohd Safrul Shahid berkata, keputusan perlawanan bukan sasaran utama ketika ini kerana fokus pasukan lebih terarah kepada proses pembangunan pemain dalam tempoh dua tahun akan datang.

Menurutnya, projek berkenaan dirancang bagi memastikan pemain yang ada sekarang mampu menjadi pasukan yang lebih mantap apabila mencecah usia 15 tahun.

“Tumpuan kami sekarang ialah pembangunan pasukan B-13. Sasaran sebenar adalah apabila mereka berusia 15 tahun nanti. Program ini dirancang untuk tempoh dua tahun bagi memastikan Putra terus mempunyai pelapis berkualiti,” katanya.

Pada masa sama, tugas kapten pasukan digalas Gufran Azhar yang bertanggungjawab memimpin barisan pemain muda itu dalam setiap pertandingan disertai.

Safrul berkata, Putra sudah merangka jadual padat dengan aksi kompetitif secara bulanan bermula bulan ini sehingga Oktober depan bagi memberi lebih banyak pendedahan kepada pemain.

“Kita akan ada perlawanan setiap bulan dan program ini akan berterusan sehingga sebelum cuti sekolah. Lebih banyak perlawanan akan membantu perkembangan pemain,” katanya.

Beliau berkata, Putra juga berhasrat membawa pasukan beraksi di dalam dan luar negara termasuk menyasarkan penyertaan dalam kejohanan Bali 10.

“Kita bercadang membawa skuad B-14 ke Bali, namun pasukan yang dihantar nanti terdiri daripada pemain B-13 yang sama kerana matlamat utama adalah pembangunan. Tahun ini kami bermula semula dari peringkat bawah untuk memastikan Putra terus relevan pada masa depan,” katanya.

Safrul mengakui perkembangan pemain semakin positif, namun percaya pengalaman perlawanan adalah elemen paling penting dalam mempercepat proses kematangan mereka.

“Kalau kurang perlawanan, pemain mudah menjadi takut dan hilang keyakinan. Tetapi jika mereka beraksi setiap bulan, mereka akan belajar sesuatu yang baharu dan terus berkembang. Lagi banyak kejohanan disertai, lagi cepat peningkatan mereka,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top