MUAR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersedia menggunakan logo sendiri sekiranya tidak mendapat kebenaran menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu akan dibincangkan dan diputuskan secara konsensus dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PN di Kuala Lumpur pada Isnin.
Menurutnya, keputusan mengenai penggunaan logo parti atau gabungan hanya akan dimuktamadkan selepas perbincangan bersama kepimpinan PN.
“Ada orang tanya saya, apa logo nak pakai. Kita akan pakai logo PN (tapi) macam mana nak guna kalau Pengerusi PN (Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar) tak nak sign, (guna logo) PN kena ada watikah,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Bakri di sini pada malam Ahad.
Turut hadir, Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin; Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Pengerusi Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.
Pada 16 Jun lalu, Muhyiddin dilaporkan berkata, Bersatu kekal bersama PN dan akan menggunakan logo gabungan itu dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan.
Namun keesokan harinya, Pas dilaporkan menyifatkan kenyataan tersebut sebagai gopoh.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dilaporkan berkata, watikah atau kuasa penggunaan logo PN perlu ditandatangani oleh Pengerusi PN, bukannya presiden parti.
Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, Bersatu mempunyai ramai calon untuk diketengahkan dan parti perlu bertanding banyak kerusi supaya dapat menubuhkan kerajaan jika menang PRN Johor kali ini.
“Johor ada 56 kerusi, pada PRN lalu, Bersatu menang dua kerusi di Bukit Kepong dan Endau serta satu Pas di Maharani.
“Kalau 10 kerusi tidak cukup untuk jadi kerajaan, perlu ada 28 campur satu kerusi baru boleh jadi kerajaan,” katanya.



