am@hmetro.com.my
Kajang: Remaja lelaki berusia 17 tahun cedera selepas motosikal ditunggangnya secara melawan arus bertembung dengan kereta dalam kejadian di Jalan MKH Boulevard 2, Jalan Bukit, di sini pada Jumaat.
Dalam kejadian pada 2 petang itu, remaja berkenaan menunggang motosikal dengan seorang lelaki berusia 20 tahun.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, motosikal dinaiki dua lelaki itu berlanggar dengan kereta dipandu seorang lelaki berusia 30 tahun.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan itu berpunca daripada kecuaian penunggang motosikal yang tidak mengikut tanda arah laluan dan melawan arus trafik lalu bertembung dengan sebuah kereta yang datang dari arah hadapan.
“Siasatan juga mendapati penunggang motosikal tidak mempunyai lesen memandu yang sah. Akibat kemalangan berkenaan, penunggang dan pembonceng motosikal jatuh di atas jalan dan dibawa ke Hospital Kajang untuk mendapatkan rawatan.
“Penunggang motosikal cedera di kaki dan patah tangan kiri, manakala pembonceng motosikal dan pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan di sini, sebentar tadi.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) dan Seksyen 26(1) Pengangkutan Jalan 1987.
“Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya mengamalkan pemanduan yang berhemah, sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan sentiasa berhati-hati ketika memandu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




