Kru kabin berhijab: Ruang lebih luas untuk muslimah

Kru kabin berhijab: Ruang lebih luas untuk muslimah

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Langkah AirAsia membenarkan kru wanita mempunyai pilihan untuk memakai hijab ketika bertugas membuka ruang lebih luas untuk menghormati identiti dan hak pekerja muslimah dalam sektor penerbangan.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, perkembangan ini adalah tanda positif bahawa syarikat penerbangan serantau semakin peka terhadap nilai masyarakat Malaysia serta keperluan melaksanakan dasar yang lebih inklusif dan beretika.

Katanya, pemakaian hijab bukan sekadar soal penampilan malah mencerminkan kebebasan beragama, integriti pekerja muslim dan penghormatan terhadap prinsip yang dianuti oleh majoriti rakyat negara ini.

“Dasar ini menjadi amalan mesra syariah yang menyeluruh termasuklah prosedur kerja, garis panduan operasi, penyediaan makanan dan minuman, latihan integriti, serta polisi perkhidmatan pelanggan yang menghormati batasan agama.

“Industri penerbangan nasional perlu menjadikan langkah ini contoh penting kerana Malaysia ialah negara majoriti Muslim.

“Polisi patuh syariah bukan halangan kepada profesionalisme atau standard keselamatan, malah mampu memperkukuh reputasi syarikat sebagai entiti yang menghormati budaya dan nilai tempatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Azmi berkata, pihaknya bersedia berkongsi input dan pandangan bagi memastikan pelaksanaan polisi mesra syariah benar benar memberi manfaat kepada pekerja dan penumpang.

Katanya, penerimaan yang lebih luas terhadap hijab dan prinsip syariah dalam sektor penerbangan adalah sebahagian daripada perjalanan Malaysia sebagai negara yang mengekalkan identiti Islam dan masa yang sama terus terbuka kepada dunia.

“Langkah ini boleh menjadi pemangkin kepada polisi lebih menyeluruh, konsisten dan lestari, selaras dengan aspirasi rakyat Malaysia yang mahukan persekitaran kerja dan perkhidmatan awam yang menghormati nilai Islam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top