am@hmetro.com.my
Shah Alam: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesan aliran air berwarna hitam disyaki berasal dari bekas tapak pembuangan sampah yang mencemarkan Sungai Serdang, Kapar, Klang semalam.
LUAS berkata, kejadian sekitar jam 2.45 petang itu menyebabkan pihaknya segera turun ke lapangan bagi menjalankan siasatan.
“Pasukan kami menjejaki aliran Sungai Serdang ke bahagian hulu menggunakan dron satu bekas tapak pembuangan sampah.
“Semakan lanjut menemukan aliran air hitam keluar daripada bekas tapak itu yang dikhuatiri adalah air larut resapan,” katanya semalam.
Menurut LUAS, berdasarkan semakan, tapak pembuangan sampah itu sudah ditutup sejak dua tahun lalu oleh agensi berkaitan.
“Sepanjang tempoh berkenaan, tiada pembuangan sampah baharu dimaklumkan serta laluan ke tapak juga ditutup menggunakan batu konkrit.
“Air sampah itu berkemungkinan berpunca hujan berpanjangan di lokasi kejadian sepanjang minggu lalu,” katanya.
Jelasnya, tiada Loji Rawatan Air (LRA) berada di sepanjang aliran sungai itu.
Ujar LUAS, pihaknya melakukan pensampelan kualiti air dan kesemua sampel dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk analisis lanjut.
“Kami juga berkomunikasi dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi berkaitan berhubung insiden itu untuk tindakan lanjut.
“Pemantauan susulan akan dilakukan bagi memastikan insiden terbabit tidak berulang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




