am@hmetro.com.my
Pasir Puteh: Guru yang maut selepas kereta dipandu jatuh gaung, Hassan Shazali, 52 selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kedai Menanti, di sini, jam 9.10 malam ini.
Terdahulu, solat jenazah arwah turut diimamkan anak sulungnya, Amir Haziq Hassan, 24, di Masjid Al Ikhlas Kedai Menanti yang terletak bersebelahan tanah perkuburan itu.
Kakak arwah, Rohani Ghazali, 63 berkata, keluarga masih terkejut dengan kejadian menimpa adik kelima daripada lapan beradik itu, namun mereka reda dengan kejadian yang berlaku.
Katanya, arwah seorang yang sangat pemurah dengan keluarga dan suka berselawat.
“Selepas berpisah dengan isteri, arwah balik kampung setiap minggu ke rumah mak (Mek Som Ishak, 82) dan kali terakhir berjumpa arwah tiada tanda pelik ditunjukkan.
“Mak masih bersedih dengan kejadian sebab dia pergi tiba-tiba, bukan sebab sakit, setiap kali nak balik, arwah selalu minta maaf dengan mak, kalau balik pun dia akan bermalam, pagi esoknya baru balik ke Gua Musang,” katanya ketika ditemui di tanah perkuburan itu, hari ini.
Rohani berkata, hasrat arwah untuk berkahwin baru sudah diketahui keluarga dan majlis merisik dirancang pada 20 Disember dan melangsungkan perkahwinan pada 25 Disember ini namun segala persiapan diuruskan Hassan.
Katanya, ketika kejadian, arwah yang dipanggil Ayah Teh dan bakal isterinya itu juga dipercayai keluar untuk mencari barangan hantaran untuk majlis mereka nanti.
Semalam, media melaporkan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Lebir dan pekerja kantin, Suzaimah Che Azis, 34 maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka terhumban ke dalam gaung sedalam 67 meter di Kilometer 52, Jalan Kuala Jeneris -Sg Gawi – Aring, Bukit Kawah, Gua Musang jam 5.30 petang.
Berita berkaitan:
Wanita reda suami maut bersama bakal isteri, akui masih dalam tempoh iddah
Baju pengantin ditemui dalam SUV jatuh gaung, 5 hantaran tinggal kenangan
‘Baju hitam untuk perkahwinan arwah kakak akan dipakai ketika kenduri tahlil’
Lalu jalan ditutup, MPV jatuh gaung, pasangan bakal pengantin maut
© New Straits Times Press (M) Bhd



