Isu ladang FGV: Rundingan antara kerajaan Persekutuan, Terengganu diteruskan

Isu ladang FGV: Rundingan antara kerajaan Persekutuan, Terengganu diteruskan

zanariah_mutalib@bh.com.my

Kuala Lumpur: Rundingan antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan Terengganu berhubung pertikaian 10 ladang FELDA dan FGV Holdings Berhad (FGV) sedang berjalan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Datuk Dr Azman Ibrahim, berkata beliau berharap perbincangan itu akan berjalan dengan lancar.

“Rundingan sedang berjalan. Doakan yang terbaik,” kata beliau melalui Facebooknya, hari ini.

Semalam, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata mesyuarat dan perbincangan antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan Terengganu berhubung pertikaian 10 ladang FELDA dan FGV seluas kira-kira 15,000 hektar akan diteruskan.

Fahmi berkata, perkara itu dicapai berdasarkan perbincangan antara Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican dengan Setiausaha Kerajaan Terengganu, Datuk Zulkifli Ali, kelmarin.

Pada peringkat ini katanya, memadai mesyuarat berlangsung antara pegawai kanan terlebih dahulu.

Mengulas kenyataan Fahmi itu, Azman mendakwa, ia menunjukkan bayaran yang sepatutnya dibuat kepada kerajaan Terengganu belum dilunaskan.

“Sebab itu sudah lama Terengganu ajak bincang,” katanya.

Semalam, Azman memaklumkan, kerajaan Terengganu sedia mempertimbang untuk melanjutkan tempoh remedi yang diberikan kepada FGV berhubung Notis Amaran Pendudukan Secara Tidak Sah mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (Notis 425 KTN).

Keputusan itu akan dibuat jika perbincangan lanjut mengenai isu tanah kerajaan negeri dengan FELDA dan FGV yang dijadualkan malam tadi menunjukkan hasil positif.

Dr Azman memaklumkan perbincangan itu disambung selepas pertemuan pertama petang semalam.

Ahad lalu, Kerajaan Terengganu mengeluarkan notis larangan menceroboh tanah diusahakan FELDA di 10 ladang seluas kira-kira 15,000 hektar di negeri itu.

Penyerahan notis dilakukan serentak kepada pihak pengurusan ladang di Setiu, Besut, Kemaman, Marang, Dungun dan Hulu Terengganu.

Tindakan itu diambil selepas FELDA gagal memberi maklum balas tuntutan pembayaran hasil keuntungan sebanyak 30 peratus tanah milik kerajaan negeri diterokai sejak 40 tahun lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top