am@hmetro.com.my
Gua Musang: Kadar lesen mendulang ditetapkan RM 100 setahun adalah sangat murah dan dianggap munasabah bagi pendulang emas di daerah ini.
Bagaimanapun pendulang emas berharap proses memohon lesen dapat dilakukan di Pejabat Tanah Jajahan Gua Musang (PTJGM) tanpa perlu pergi ke Pejabat Tanah Galian (PTG) Kota Bharu, Kelantan.
Difahamkan faktor jarak jauh menyukarkan pendulang emas terutama masyarakat Orang Asli yang tinggal di pedalaman Gua Musang untuk pergi ke PTG yang terletak hampir 200 kilometer (km).
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Limau Kasturi, Aluwi Muda berkata, kadar lesen ditetapkan RM100 setahun oleh kerajaan negeri melegakan penduduk di kawasan itu.
Katanya, rata-rata penduduk di perkampungan itu menjadikan aktiviti mendulang emas sebagai pendapatan sampingan terutama apabila tidak dapat menoreh getah.
“Pendulang di sini sambut baik pengumuman kerajaan negeri yang menetapkan caj lesen RM100 untuk setahun.
“Jadi saya yakin bermula awal tahun depan, pasti ramai penduduk buat permohonan mendapatkan lesen mendulang emas,” katanya .
Penduduk Orang Asli, Apek Asud, 41, berkata, kadar lesen RM100 itu dianggap besar bagi penduduk Orang Asli di pedalaman.
Katanya, perjalanan memohon lesen di pejabat PTG terletak di Kota Bharu memerlukan kos yang tinggi.
“Untuk ke Pejabat PTG negeri, kami perlu tempuh perjalanan hampir 200 kilometer (km) sedangkan kami tinggal di kawasan pedalaman. Kami terpaksa menyewa kenderaan pacuan empat roda atau menggunakan motosikal,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan kerajaan Kelantan mengumumkan lesen pendulang emas di tanah kerajaan hanya dibenarkan kepada rakyat negeri Kelantan dengan bayaran RM100 setahun.
© New Straits Times Press (M) Bhd




