am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Di sebalik keriuhan pelancong dan suasana meriah yang menjadi nadi Jalan Petaling, di sini, kawasan tumpuan ikonik ibu kota itu menyimpan ‘sisi’ hitam apabila menjadi ‘sarang’ kegiatan pelacuran yang bergerak secara tersembunyi namun tersusun.
Di beberapa premis rumah kedai di kawasan berkenaan yang menempatkan beberapa bilik kecil dalam sebuah premis menjadi lokasi tumpuan lelaki hidung belang terutama warga asing mendapatkan perkhidmatan seks, dipercayai sudah aktif sejak tempoh agak lama.
Kegiatan tidak bermoral itu terbongkar hasil serbuan dilakukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di 13 premis di lokasi berkenaan, Jalan Imbi serta Jalan Pudu yang membawa kepada penahanan 139 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi 11.30 pagi hingga 1.30 tengah hari, hari ini.
Mereka ditahan membabitkan 112 wanita dan 27 lelaki berusia antara 20 hingga 65 tahun dengan kesemua wanita berkenaan dipercayai terbabit dalam kegiatan tidak bermoral itu.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Imigresen, Basri Othman berkata, pihaknya turut menahan 20 lelaki tempatan disyaki berperanan sebagai ‘kapten’ premis terbabit.
“Warga asing yang ditahan membabitkan tiga lelaki dan 42 wanita warga Indonesia, 17 wanita warga Vietnam, masing-masing lapan lelaki dan wanita warga Myanmar.
“Selain itu, 10 lelaki dan 43 wanita warga Bangladesh, tiga lelaki dan seorang wanita warga India, tiga lelaki Nepal dan seorang wanita Sri Lanka,” katanya pada sidang media di lokasi operasi, hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kegiatan menyasarkan pelanggan asing dan tempatan dengan bayaran RM60 selain premis beroperasi 24 jam dengan pertukaran ‘syif’ wanita setiap 12 jam.
Katanya, JIM akan menyiasat sekiranya kesemua premis membabitkan sindiket yang sama.
Pada masa sama, katanya, semua tangkapan lelaki tempatan disiasat kerana bersubahat selain menyalurkan maklumat kepada pihak berwajib agar tindakan dapat diambil ke atas premis.
“JIM akan meneruskan operasi memandangkan lokasi ini adalah kawasan tumpuan pelancong asing bagi memastikan tiada aktiviti seperti ini di masa akan datang.
“Pemilik premis juga diberi amaran supaya tidak menyewakan premis untuk tujuan tidak sepatutnya,” katanya.
Sementara itu, tinjauan wartawan di lokasi mendapati premis di kawasan berkenaan yang dijadikan sarang kegiatan tidak bermoral itu menempatkan kira-kira lebih 10 hingga 15 bilik kecil di setiap premis yang mempunyai sebuah katil dan ‘tandas’ kecil.
Bilik berkenaan dipercayai disewa hanya untuk menjadi tempat aktiviti itu dan bukannya tempat tinggal mereka. ,
© New Straits Times Press (M) Bhd



