Kualiti 'street food' semakin menurun – Chef Wan cadang tubuh satu institusi

Kualiti 'street food' semakin menurun – Chef Wan cadang tubuh satu institusi

am@hmetro.com.my

Kepala Batas: Kerajaan diminta menubuhkan satu institusi yang dapat menghimpunkan tukang masak yang pakar dalam masakan Melayu ‘jalanan’ untuk membolehkan ilmu mereka dibukukan dan dipelajari generasi muda.

Chef selebriti terkenal, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan, berkata perkara itu penting memandangkan tukang masak berpengalaman menghasilkan makanan warisan orang Melayu mulai kurang atas faktor usia dan kesihatan, selain ada yang sudah meninggal dunia.

Berikutan itu, katanya kualiti makanan warisan yang dijual di jalanan pada ketika ini didapati menurun dan ia memberi kesan kurang baik terhadap industri pelancongan di negara ini sekiranya tidak diberikan perhatian yang serius.

“Kalau kita tanya mana-mana saja chef (tukang masak) restoran, kafe, gerai atau mana-mana sahaja, kita tengok makanan street food (makanan jalanan), (kualiti) kita dari hari ke hari makin jatuh dan makin turun.

“Sebab generasi muda (terbabit dalam perniagaan makanan jalanan) kurang minat (mempelajari dan menguasai ilmu masakan warisan).

“Tambah sekarang (orang) kita sibuk kata (persoal) makan kat sini (makanan jalanan) tak elok (kurang sedap) makan kat hotel (pun) tak tak sedap dan kita kena tahu kenapa boleh jadi macam ini sedangkan sebelum ini semuanya baik sahaja.

“Sebab itu, saya berpandangan kita (tukang masak berpengalaman) seluruh negeri tidak kira kaum yang mahir dalam makanan warisan perlu bekerjasama dan duduk semeja dalam satu institusi supaya ilmu yang ada dapat diberikan kepada generasi muda.

“Contohnya melalui penghasilan ensiklopedia makanan Melayu atau apa-apa sahaja yang boleh dibuat sekali gus mengangkat serta memartabatkan makanan jalanan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Cafe Chef Wan Cawangan Pertama di Wilayah Utara di Bertam Resort and Waterpark, hari ini.

Majlis perasmian yang turut dihadiri Pengarah Urusan Maritime Waterfront Suites Sdn Bhd, Datuk Mohamed Iqbal S Habeeb Noohu itu disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib.

Pembukaan kafe yang menawarkan pelbagai sajian makanan warisan termasuk resipi peninggalan ibu kepada Chef Wan adalah langkah strategik untuk memartabatkan masakan Melayu yang menepati citarasa orang di utara.

Dalam pada itu, Chef Wan berkata, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya seharusnya dapat melihat perkara berkaitan makanan warisan dengan lebih mendalam supaya ilmu orang terdahulu dapat terus dibawa untuk generasi akan datang

“Sekarang banyak makcik buat kuih semua tak turunkan resipi sebab anak-anak tak minat. Sikit lagi makcik dah sakit, makcik dah meninggal.

“Habis meninggal dengan resipi (mereka) yang ini saya selalu bimbang, tambahan pula kualiti makanan kita yang semakin menurun.

“Bayangkan kadang-kadang bagi hotel lima bintang untuk buat nasi goreng, mi mamak pun tak sedap sedangkan itu resipi ringkas yang perkara ini perlu kita lihat kerana makanan ini berkaitan dengan industri pelancongan.

“Kita selalu banggakan makanan luar sedangkan makanan Malaysia khususnya Melayu begitu istimewa hingga tukang masak asing belajar dan jual di negara mereka,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top