am@hmetro.com.my
GABUNGAN dua band kegemaran serantau, Bunkface dan Nidji, menjadi taruhan penganjuran Nusa Fest Presents sekali gus bakal menyemarakkan suasana pentas persembahan.
Konsert Nusa Fest Presents – Nidji x Bunkface bakal diadakan di Megastar Arena Kuala Lumpur pada 21 Disember ini.
Vokalis Nidji, Yusuf Ubay berkata, tanpa berfikir panjang mereka segera menerima tawaran yang diberikan penganjur.
“Muzik mempunyai kaitan dengan hubungan. Nidji dan Bunkface ada semangat sama. Kami nak buat konsert yang memberi memori indah untuk peminat.” kata Ubay yang tidak menafikan Kuala Lumpur sudah seperti ‘rumah kedua’ mereka.
“Akhirnya, kami kembali! Kami buka tahun 2025 di Kuala Lumpur dan kami akan tutup tahun ini di sini juga, kali ini berkongsi pentas dengan saudara kami, Bunkface. Nusa Fest bukan sekadar konsert, tetapi perayaan persahabatan, kasih dan perpaduan,” tambahnya.
Menurut pemain gitar Bunface, Paan pula ini kali pertama mereka mengadakan konsert dengan anggota baharu Nidji dan sangat tertunggu-tunggu untuk menjayakan konsert ini.
“Ini momen istimewa dalam hidup kami. Sebelum ini kami pernah perform dengan Giring, kali ini dengan Ubay pula. Jadi, ini kali pertama dan kami tak sabar menantikan hari persembahan nanti,” katanya.
Tambah Paan, projek ini sebagai bukti sinergi pemuzik Malaysia – Indonesia yang sentiasa kukuh.
“Ini bukan sekadar konsert biasa. Ia momen paling berharga untuk peminat kami. Sebab itu Bunkface setuju untuk turut terlibat,” katanya.
Apabila ditanya mengenai kemampuan mereka kekal menarik ribuan peminat hingga kini, kata Paan, mereka sentiasa berbincang dan menghormati pandangan setiap pihak.
“Sebenarnya semua kerana Allah. Kami saling toleransi, jujur dengan diri sendiri dan karya.
“Kami berkarya macam biasa, baik dengan semua orang dan yang penting, peminat terus menyokong,” katanya yang sudah merakam beberapa lagu baharu namun menantikan masa sesuai untuk mengeluarkannya.
Yok pula mengulas mengenai perancangan untuk menyambut ulang tahun ke-20 band itu yang akan dilakukan dan meminta orang ramai untuk mendoakan mereka supaya dipermudahkan.
“Memang ada perancangan. Insya-Allah tahun depan. Doakan,” katanya.
Kedua-dua band juga mendedahkan mereka bakal tampil dengan set persembahan sekurang-kurangnya lebih dua jam.
Jika edisi 2023 menampilkan puluhan artis yang membuatkan adrenalin peminat ‘meletup’, penganjuran kali ini tampil berbeza.
Menurut Penerbit Eksekutif Shiraz Projects, Shirazdeen Karim, peminat Nidji sentiasa ada di Malaysia dan kredibiliti Bunkface untuk mengangkat karya berkualiti tidak boleh dinafikan.
“Kenapa Nidji x Bunkface? Kenapa tidak? Energi Nidji sentiasa besar dan peminat mereka di sini tidak pernah lekang. Dalam masa sama, kredibiliti Bunkface sebagai kugiran Malaysia yang konsisten mengangkat karya berkualiti memang tidak boleh dinafikan,” katanya.
Menurut Shiraz, gabungan dua negara bukan sekadar membawa persembahan pentas, tetapi membuka ruang kepada peminat silang budaya menikmati muzik dalam satu bumbung dengan penuh harmoni.
Katanya, edisi kali ini bakal mencipta momen epik sebelum melangkah ke 2026, apatah lagi kedua-duanya memiliki kelompok peminat tersendiri dan reputasi yang tidak perlu dipertikai.
Shiraz berkata, konsep Nusa Fest Presents tidak sama dengan Nusa Fest yang pernah dilakukan sebelum ini.
“Nusa Fest adalah festival penuh dua hari dengan lebih 20 band. Nusa Fest Presents pula konsert sampingan di bawah jenama yang sama, tapi memberi fokus kepada dua kumpulan besar dalam satu bumbung,” katanya.
Menurut Shiraz, jualan tiket sudah mencapai hampir 50 peratus.
Tiket dijual pada harga Rockzone (Standing) RM228, Gold (Standing) RM148, Diamond (Seated) RM198, dan Platinum (Seated) RM168 melalui laman ticket2u.
Untuk rekod Nidji dari Jakarta ditubuhkan pada tahun 2002, nama Nidji berasal dari perkataan bahasa Jepun niji, yang bermaksud “pelangi”.
Muzik mereka boleh diklasifikasikan di bawah genre pop alternatif dan band ini menyebut Coldplay dan The Killers sebagai pengaruh utama mereka.
Yusuf Ubay menggantikan Giring Ganesha pada tahun 2019 dan ahli-ahli lain dalam kumpulan ini ialah Andi Ariel Harsya (gitar), Muhammad Ramadhista Akbar (gitar), Muhammad Andro Regantoro (bes), Randy Danistha (keyboard), dan Muhammad Adri Prakarsa (dram).
Sepanjang hampir dua dekad berkarya, Nidji menghimpunkan banyak lagu dan menjadikan mereka antara kumpulan paling produktif dalam industri muzik.
Gelaran ‘King of Soundtrack’ yang sering dikaitkan dengan mereka juga bukan sekadar julukan, sebaliknya terbukti melalui deretan lagu yang digunakan sebagai tema filem dan drama popular.
Antara lagu yang paling menyerlah Laskar Pelangi, yang menjadi ikon dalam filem berjudul sama, selain Sumpah dan Cinta Matiku yang menjadi lagu tema filem Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck kedua-duanya mencatatkan kejayaan besar dan memperluaskan lagi pengaruh muzik mereka.
Manakala, Bunkface yang diasaskan di Klang, Selangor, pada tahun 2005, bakal tampil penyanyi utama dan pemain gitar Sam Baharom, pemain gitar bass serta penyanyi latar Youk (Farouk Jaafar), pemain gitar utama Paan (Ahmad Farhan) dan pemain dram Biak (Alif Sufian).
© New Straits Times Press (M) Bhd




