nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu : Biarpun saban tahun fenomena air pasang besar sering berlaku dan biasa dihadapi lebih 250 penduduk di Kampung Pantai Dasar Sabak, di sini, namun situasi itu tetap mencetuskan kebimbangan mereka terutama pada sebelah malam.
Menjelang Disember, saban waktu mereka kini ‘didendangkan’ dengan bunyi ombak yang kuat dengan ada kalanya air memasuki halaman dan kediaman terutama rumah penduduk yang rendah.
Malah, angin kuat turut merosakkan bumbung kediaman mereka hingga ada yang sudah dua kali terpaksa membaik pulih bumbung.
Penduduk, Ahmad Fuad Mohamad, 63, berkata situasi yang berlaku iaitu fenomena air pasang besar boleh dikatakan perkara wajib bagi mereka yang tinggal di tepi pantai.
“Namun situasi air pasang besar sejak Disember ini lebih kuat berbanding waktu lain hingga menyebabkan air bertakung di halaman rumah selama beberapa jam.
“Bagi rumah yang rendah, air berkenaan akan masuk ke dalam rumah. Inilah situasi kami penduduk di kawasan pantai apabila berlaku air pasang besar.
“Walaupun sudah biasa dengan keadaan ini, namun kami sentiasa berhati-hati dan membuat persiapan yang perlu kerana kita bimbang berlaku cuaca yang tidak dijangka. Tidur malam pun tidak lena kerana sering memantau keadaan air pasang,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Beliau yang tinggal seramai sembilan beranak termasuk cucu itu berkata, beberapa hari lalu atap bumbung pecah akibat angin kuat dan terpaksa menggantikan yang balu.
“Rumah saya betul-betul sebelah benteng batu. Mungkin jika tiada benteng, habis air masuk ke dalam rumah setiap kali air pasang besar.
“Saya tinggal di sini sejak 1987 dan sebuah rumah saya sudah berada di dalam laut akibat hakisan teruk di sini. Ketika itu benteng batu belum dipasang.
“Malah, rumah saya diami sekarang asalnya adalah tinggi namun menjadi makin rendah apabila setiap kali ombak kuat, ia turut membawa pasir,” katanya.
Penduduk yang mahu dikenali sebagai Ahmad berusia 47 tahun pula berkata, dia dan penduduk lain sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga terutama ketika air pasang besar.
“Apabila bunyi ombak kuat terutama tengah malam atau awal pagi, saya akan keluar untuk melihat suasana kerana bimbang air masuk ke dalam rumah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




