am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Meskipun sibuk di set penggambaran filem Tiket Sehala arahan Rahila Ali di Korea Selatan, pelakon Jaa Suzuran, 30, tetap fokus pada kejohanan sukan tempur, Fury Redemption.
Jaa atau nama sebenarnya, Mohamad Faizal Ahmad berkata, sepanjang di set penggambaran filem Tiket Sehala terbitan Key Billions Sdn Bhd, mental dan fizikalnya ligat membahagikan masa untuk dua kerjaya berbeza yang diceburinya itu.
“Saya menyukai watak sebagai Taqy dalam filem Tiket Sehala kerana ia sangat berat dan perlu bermain pelbagai lapisan emosi.
“Tapi, pada masa sama, saya juga perlu fokus pada acara sukan tempur Fury.
“Sebaik saja, pengarah kata ‘cut’ dan berpuas hati dengan lakonan, saya terus keluar set, mencapai telefon bimbit dan berlari ke dalam khemah pelakon untuk mengurus hal lain pula,” kata pemenang Pelakon Harapan Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-32 (FFM32) itu.
Mengulas lanjut, kata Jaa, dia juga menggalas tanggung-jawab sebagai ketua pegawai pemasaran dan turut terbabit dalam mendapatkan atlet tarung untuk Fury Redemption.
Katanya, susulan kejayaan Kejohanan Fury pada Mei lalu, peminat sukan pertarungan mahukan aksi pertarungan yang lebih hebat.
“Kami berjaya mendapatkan beberapa nama hebat dalam sukan pertarungan di Malaysia dan luar negara, antaranya Elias ‘EZ’ Ghazali yang juga abang kepada atlet tarung remaja, Johan Ghazali; Riedzwan Norsyahmie (Malaysia); Fahri Alamsyah (Indonesia) dan Alan Nasser dari Iran.
“Fury Redemption juga bakal menyaksikan pertarungan hebat antara atlet tarung Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melawan atlet Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Udara (TNI-AU),” katanya.
Selain itu, Fury Redemption turut menampilkan barisan artis iaitu pelakon Alif Muhaimin dan Adam Lee.
Fury Redemption bakal berlangsung di Arena Sukan, Setapak, Kuala Lumpur pada 28 Disember ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd
