Polis siasat dakwaan dua pelajar OKU jadi mangsa amang seksual di asrama

Polis siasat dakwaan dua pelajar OKU jadi mangsa amang seksual di asrama

am@hmetro.com.my

Marang: Polis menyiasat dakwaan dua pelajar orang kurang upaya (OKU) menjadi mangsa amang seksual di sebuah asrama di daerah ini, susulan dua laporan diterima pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Marang, Superintendan Sofian Redzuan berkata, laporan pertama membabitkan mangsa berusia 17 tahun, seorang OKU kategori masalah pembelajaran, yang mendakwa dicabul oleh pelajar lelaki berusia 16 tahun, kira-kira jam 2 petang, 17 November lalu di asrama berkenaan.

Menurutnya, mangsa kemudian memaklumkan kejadian itu kepada warden sebelum satu laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang.

“Laporan kedua pula membabitkan mangsa berusia 13 tahun, juga seorang OKU kategori Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD), yang mendakwa menjadi mangsa amang seksual pelajar berusia 16 tahun, kira-kira jam 6 petang, 20 November lalu di asrama sama.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan polis akan memanggil suspek yang terbabit untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 14(a), 14(b) dan 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top