khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) mengumumkan penjenamaan semula identiti Wakaf PPZ kepada Wakaf Wilayah Persekutuan dalam usaha memantapkan peranan PPZ-MAIWP memperluas agenda wakaf.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, penjenamaan semula Wakaf Wilayah Persekutuan menjadi langkah strategik bagi memastikan pengurusan wakaf mudah dikenal, jelas fungsinya dan mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat.
“Walaupun prestasi kutipan wakaf amat memberangsangkan, PPZ-MAIWP menyedari bahawa identiti semasa sering mengelirukan masyarakat kerana nama Wakaf PPZ lebih sinonim dengan kutipan zakat semata-mata.
“Tanggungjawab ini menuntut pendekatan lebih tersusun, strategi komunikasi lebih jelas dan identiti yang lebih kukuh,” katanya semasa berucap pada Majlis Pelancaran Penjenamaan Semula Wakaf Wilayah Persekutuan dan Penyerahan Sumbangan Wakaf Tunai di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Penjenamaan semula ini merangkumi pengenalan nama baharu daripada Wakaf PPZ kepada Wakaf Wilayah Persekutuan, pelancaran logo berserta warna identiti yang baharu, penukaran portal wakafppz.com.my kepada www.wakafwilayah.com.my, penyeragaman nama di semua platform media sosial, selain pelaksanaan pelbagai aktiviti promosi.
Penjenamaan nama baharu ini juga telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 5 September lalu dan merupakan satu pengiktirafan tertinggi terhadap usaha PPZ-MAIWP dan MAIWP dalam memodenkan pengurusan wakaf tunai di Malaysia.
Mohd Na’im berkata, nama Wakaf Wilayah Persekutuan bukan sahaja mudah diingati, malah melambangkan aspirasi pembangunan wakaf yang lebih luas dan inklusif.
“Penjenamaan ini bukan semata-mata tentang perubahan identiti, tetapi usaha untuk membudayakan wakaf sebagai amalan merentas masyarakat tanpa mengira latar belakang kerana manfaatnya bersifat universal.
“Saya berharap menerusi penjenamaan semula ini, jenama Wakaf Wilayah Persekutuan mampu menjadi satu titik-tolak dalam mengangkat lebih tinggi tradisi wakaf sebagai institusi sosial yang kukuh dan membina keyakinan masyarakat bahawa setiap sen yang mereka wakafkan akan diuruskan dengan amanah, berintegriti dan baik,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Na’im berkata, dari tempoh Januari sehingga November tahun ini, sebanyak RM7.909 juta telah berjaya dikutip membabitkan 11,121 pewakaf.
“Angka ini bukan sekadar statistik, tetapi bukti bahawa masyarakat semakin mempercayai PPZ-MAIWP sebagai agensi mengutip wakaf yang amanah, cekap dan profesional.
“Sesungguhnya kepercayaan ini adalah aset paling berharga yang perlu dihargai dan dipelihara,” katanya.
Menurutnya, sejak PPZ-MAIWP diberi mandat mengutip wakaf tunai, sebanyak 11 projek wakaf telah mencapai sasaran kutipan.
Bagaimanapun katanya, masih terdapat sebanyak 35 projek wakaf yang masih memerlukan dana dianggarkan sebanyak RM413 juta.
“Saya menyeru untuk terus bersama menyokong PPZ-MAIWP menyiapkan projek-projek ini demi manfaat jangka panjang ummah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




