MITI Jadi Pemangkin: Dua Syarikat Tempatan Kini Menembusi Pasaran Global | Branded – Oh! Media

MITI Jadi Pemangkin: Dua Syarikat Tempatan Kini Menembusi Pasaran Global | Branded – Oh! Media

Langkah memulakan perniagaan mungkin mudah, akan tetapi untuk mengembangkannya ke skala lebih besar ke luar negara adalah sesuatu yang lebih mencabar.

Syarikat tempatan, Poly Edge yang berdagang pelbagai jenis thermoplastic, termasuk material yang boleh dikitar semula, membuktikan tiada yang mustahil dengan cita-cita serta usaha yang cekal.

Pengarah Urusan Brandon Chan berkongsi kisah bagaimana Poly Edge yang ditubuhkan pada 2021 kini menjengah ke pasaran luar negara.

Bermodalkan RM500,000, kini ke pasaran luar negara

“Saya bermula dengan dana yang boleh dikatakan kecil, cuma RM500,000 ketika mula-mula menubuhkan syarikat. Kemudian rakan perniagaan mencadangkan kami mendapatkan dana dari bank.

Menyedari tiada apa yang datang bergolek, Brandon mengambil inisiatif sendiri mendapatkan bantuan dari Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Brandon diberi peluang ke luar negara menyertai ekspo atas seliaan MITI pada 2022. Di sini dia berjumpa dengan ramai pelanggan berpotensi sekaligus merancakkan lagi rancangan mengembangkan syarikatnya.

Ekspo jadi batu loncatan luaskan rangkaian tembusi pasaran luar

Poly Edge

 “Saya tahu MITI boleh bantu kembangkan bisnes ke negara luar. Penyertaan dalam ekspo sebegini sangat membantu meluaskan lagi pasaran dan rangkaian di sesebuah negara.

“Contohnya di Jerman saya sertai pameran plastik terbesar di dunia. Tanpa MITI tak mungkin saya dapat sertai kerana kekangan kos selain tempat yang terhad.

Tambah Brandon lagi, sebelum menyertai program dianjurkan MITI, penembusan ke luar negara ASEAN syarikatnya hanya 5%. Tapi kini mencecah 30%, peningkatan yang jelas dan signifikan, menurutnya lagi.

Alpha Active miliki GMP, HACCP

Alpha Active Services

Dalam pada itu, Alpha Active, kilang OEM dengan sijil Amalan Pengilangan Baik (GMP) serta Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP) menerusi Pengurus Pemasaran, Nicholas Lim, turut berkongsi pandangan serupa mengenai MITI.

“MITI amat bagus promosikan peranan mereka. Terutamanya untuk syarikat yang mengendalikan eksport. Jadi kena tahu siapa dan fungsi MITI.

“Kalau ada sebarang keraguan atau persoalan, kita boleh jumpa pegawai MITI dan mereka akan terangkan satu persatu.

Pegawai MITI ‘pengganti’ Google

Miti Building

Nicholas juga berkongsi pengalamannya sepanjang bekerja dengan MITI dalam proses melebarkan pasaran syarikatnya ke negara luar.

“Contohnya ketika kami mahu mula-mula menembusi pasaran Filipina dan kami perlukan persetujuan dari sana tapi masih kekurangan maklumat mengenainya.

“Saya ke Menara MITI dan bercakap dengan pegawai mereka dan saya diterangkan langkah demi langkah untuk mendapatkan dokumen itu.

“Pegawai MITI bukan sahaja tahu tentang pasaran tetapi juga trend konsumer di pasaran, malahan mereka juga dilengkapi maklumat untuk keperluan pendaftaran bagi sesebuah negara.

“Aspek itu paling penting dan rumit untuk kita masuk ke negara baru. Ada pelanggan kami yang mahu beli tapi kadang-kadang mereka bukan dalam industri.

“Mereka akan bertanya bukan kepada Google tapi MITI. Di setiap negara ada pejabat MITI, jadi kami akan merujuk kepada pegawai di sana sebelum memasarkan produk di negara berkenaan,” terang Nicholas lagi.

MITI semasa Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 bukan sahaja fokus kepada rundingan besar-besaran, tetapi juga memastikan kejayaan Keberhasilan Utama Ekonomi (PEDs) benar-benar memberi manfaat kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) supaya lebih ramai usahawan kita boleh tembusi pasaran luar.

Naik Taraf ATIGA – Mudahkan PMKS Berniaga Merentasi Sempadan

Pindaan Kedua ATIGA yang dimeterai Oktober 2025 menjadikan proses eksport dalam ASEAN jauh lebih mudah dan cepat.

Naik taraf ini memperkenalkan peraturan baharu yang sesuai dengan realiti semasa: barang dikitar semula, isu alam sekitar, perdagangan ketika krisis kemanusiaan, dan pengukuhan rantaian bekalan.

Maksud mudahnya — lebih banyak barang kita boleh dieksport tanpa karenah birokrasi, kos lebih rendah, dan PMKS lebih senang menembusi 10 pasaran ASEAN yang bernilai hampir USD3.9 trilion.

DEFA – “Lebuh Raya Digital” untuk PMKS ASEAN

Kejayaan MITI untuk mencapai Kemuktamadan Substantif DEFA juga membantu syarikat PMKS untuk mengembang pasarannya, di mana DEFA akan menjadi pemudah cara utama perdagangan digital serantau.

Bila semua negara guna standard digital yang sama — pembayaran, tandatangan elektronik, e-invois, data — usahawan kecil pun boleh berniaga merentasi sempadan seperti jual dalam negara sendiri.

DEFA dijangka menggandakan ekonomi digital ASEAN kepada USD2 trilion menjelang 2030, dan memberi manfaat kepada lebih 70 juta PMKS di rantau ini.

Buktinya, banyak syarikat tempatan sudah mula melangkah jauh.

Bermula kecil, tetapi dengan bimbingan dan sokongan MITI — termasuk geran, program padanan perniagaan, dan latihan eksport — mereka kini menjadi jenama yang dikenali di luar negara.

Dengan pencapaian PEDs seperti ATIGA dan DEFA, lebih banyak PMKS Malaysia kini berpeluang berdaya saing di peringkat serantau dan global.

author avatar

Faris merupakan penulis editorial sepenuh masa di Oh! Media, yang mengkhususkan dalam menghasilkan artikel-artikel berkaitan pemasaran. Dengan tumpuan penuh pada strategi dan tren terkini, Faris memastikan setiap kandungan memberikan nilai tambah kepada pembaca dan rakan industri.

Scroll to Top