Ambulans terbalik: Pemandu maut, 2 pembantu perubatan dan pesakit cedera

Ambulans terbalik: Pemandu maut, 2 pembantu perubatan dan pesakit cedera

am@hmetro.com.my

Kluang: Pemandu maut manakala dua pembantu perubatan dan seorang pesakit cedera selepas sebuah ambulans Hospital Segamat terbabas lalu terbalik di Kilometer 59.8, Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan), hari ini.

Dalam kejadian jam 1.10 tengah hari, pemandu ambulans berusia 43 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat parah.

Komander Operasi Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, M Nasir A Shah, berkata pihaknya menggerakkan sebuah jentera ‘Fire Rescue Tender’ (FRT) bersama enam anggota dan tiba di lokasi jam 1.27 tengah hari.

Menurutnya, sebaik tiba pihaknya mendapati kemalangan membabitkan empat mangsa terdiri pemandu ambulans lelaki, dua pembantu perubatan wanita serta seorang pesakit wanita.

“Hasil pemantauan mendapati, pemandu dan seorang penumpang hadapan tercampak keluar dari ambulans, manakala dua lagi mangsa yang berada di ruangan belakang tidak tersepit.

“Bagaimanapun, pemandu ambulans terbabit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Pasukan Keluar Operasi (PKO) mengalihkan mangsa yang cedera ke kawasan selamat sebelum menyerahkan mereka kepada pihak ambulans untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang ketika dihubungi mengesahkan kemalangan dan akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top