JDT dan Shanghai Port FC sama liat

JDT dan Shanghai Port FC sama liat

rizar@mediaprima.com.my

Iskandar Puteri: Johor Darul Ta’zim (JDT) terpaksa akur dengan keputusan seri 0-0 ketika berdepan Shanghai Port FC dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) Zon Timur di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.

Dengan keputusan seri itu, skuad kendalian Xisco Munoz masih kekal di kelompok lapan pasukan terbaik Zon Timur namun perlu mengharungi tugas getir apabila akan menentang dua kelab dari Jepun, Sanfrecce Hiroshima dan Vissel Kobe pada Februari tahun depan yang bakal menjadi penentu sama ada Harimau Selatan mampu melangkah ke pusingan 16 pasukan terbaik saingan ACLE.

Sebaik perlawanan bermula, JDT bertindak mengasak ke kubu skuad The Red Eagles dan hampir mencipta jaringan seawal minit keempat selepas bola lorongan Nacho Mendez memberi ruang buat Jairo da Silva merembat leret tapi berjaya ditangkap kemas penjaga gol, Chen Wei.

Selang dua minit kemudian Harimau Selatan terus menekan benteng anak buah Kevin Muscat apabila bola umpanan Afiq Fazail menyaksikan Jonathan Silva yang berada di dalam kotak penalti melakukan sepakan lencong namun Chen Wei sempat menepis bola keluar.

Memasuki minit ke-32, hasrat JDT merungkai jaringan tidak kesampaian apabila Chen Wei menjadi penghalang selepas menepis bola rembatan Mendez yang berada di luar kotak penalti apabila menerima bola hantaran Jairo.

Walaupun Shanghai Port FC sering ditekan JDT mereka hampir mengundang cemas buat tuan rumah pada minit ke-36 apabila larian solo Gabriel De Souza yang berjaya melepasi kawalan Antonio Glauder berjaya menyusup masuk ke dalam kotak penalti namun mujur penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed bertindak pantas menghalang bola rembatan leret pemain itu.

Bersambung di babak kedua, JDT terus kecewa apabila masih buntu meleraikan jaringan walaupun pada mimit ke-48 bola hantaran lintang Jairo berjaya melepasi Chen Wei namun Silva agak lambat untuk mencipta jaringan.

Apa jua serangan yang dilakukan JDT serba tidak ,menjadi apabila bola lorongan Arribas pada minit ke-62 membuka ruang buat Bergson yang pantas merembat namun tiang gol kiri menjadi penghalang tatkala Chen Wei sudah tertewas.

Bukan malam JDT untuk mencipta jaringan apabila pemain gantian Teto Martin terlepas untuk menjaringkan gol pada minit ke-73 biarpun berjaya memperdaya Zhan Linpeng namun bola rembatannya terkena kepala Chen Wei sebelum melantun keluar dan keputusan tanpa jaringan kedua-dua pasukan kekal sehingga tamat perlawanan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top