UMNO masih bersedih, tak bincang situasi Sabah dan DUN Lamag dalam Mesyuarat MKT

UMNO masih bersedih, tak bincang situasi Sabah dan DUN Lamag dalam Mesyuarat MKT

nooratiqah.sulaiman@bh.com.my

Kuala Lumpur: Tiada perbincangan mengenai siapa akan menggantikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag berikutan pemergian Datuk Seri Bung Moktar Radin yang memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 29 November lalu.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi, berkata ini kerana pemimpin parti masih bersedih dengan pemergian Ahli Parlimen Kinabatangan itu.

“Kita tidak bincang apa-apa berkaitan Sabah, cuma sebelum mesyuarat (Majlis Kerja Tertinggi) bermula, kami ada membuat tahlil untuk arwah.

“Ramai pemimpin sedih dengan kematian ini, kami masih terasa (kehilangan). Jadi kami tidak berbincang mengenai pengganti, sebab belum bersedia.

“Perasaan kini sangat bercampur baur, sebab setiap kali mesyuarat politik arwah akan berada di sebelah saya. Mungkin perlu bagi sedikit masa kepada kami,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat MKT di Menara Datuk Onn, di sini malam ini.

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini, Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah mempertahankan kerusi DUN Lamag dengan majoriti 153 undi dalam saingan enam penjuru.

Bung Moktar meninggal dunia pada usia 66 tahun, kurang seminggu selepas dipilih sebagai ADUN Lamag untuk penggal kedua.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top