Milan, Itali: Arne Slot mendedikasikan kemenangan 1-0 Liga Juara-Juara (UCL) awal pagi tadi di Inter Milan kepada pemain yang dibawanya ke Itali dan enggan mencetuskan lagi perbalahan dengan penyerang bintang mereka, Mohamed Salah.
Persiapan perlawanan didominasi oleh kritikan pedas Salah terhadap Slot, yang mana mengakui dia “tidak pasti” sama ada penyerang bermasalah itu sudah menamatkan kariernya bersama The Reds selepas diketepikan daripada skuad ke Milan.
Salah mencetuskan drama besar di Liverpool apabila menyatakan beliau berasa seperti “dicampak di bawah bas” oleh kelab dan hubungannya dengan Slot sudah terputus selepas diletakkan di bangku simpanan ketika perlawanan seri 3-3 menentang Leeds hujung minggu lalu.
“Dalam sejarah gemilang Liverpool, mereka pernah alami banyak malam sebegini.
“Tapi dalam musim yang kami lalui sekarang, saya rasa jika anda meraih kemenangan di tempat lawan dalam stadium sebegini menentang pasukan kuat, fokus patut diberikan kepada mereka yang hadir di sini, mereka layak menerima semua pujian,” kata Slot.
Liverpool kini berada dalam kelompok lapan teratas UCL selepas penalti lewat Dominik Szoboszlai yang kontroversi memberi mereka semua tiga mata di San Siro.
Slot mengakui Liverpool bernasib baik diberikan penalti kemenangan itu, namun beliau menekankan gol Ibrahima Konate yang dibatalkan kerana bola terkena tangan sebelum itu adalah keputusan yang salah.
“Kalau itu penalti, mungkin kami boleh dapat 10 penalti musim ini.
“Penalti itu saya rasa tidak akan diberikan dalam EPL.
“Tapi sekali lagi, saya rasa gol pertama lebih jelas daripada kesalahan penalti itu diberikan,” akui Slot.
Dalam aksi seterusnya di UCL, Liverpool akan bertandang ke Marseille sebelum menerima kunjungan Qarabag dalam aksi terakhir fasa liga.
© New Straits Times Press (M) Bhd




