Penyanyi kumpulan Caliph Buskers berkongsi sisi peribadi penyanyi dan komposer, Mimi Fly yang disifatkan sebagai antara selebriti paling merendah diri pernah mereka temui dalam industri seni.
Menerusi hantaran di platform Threads, anggota kumpulan itu mendedahkan Mimi atau nama sebenarnya, Shamimi Amalina Norisham, 38, sentiasa menunjukkan keikhlasan apabila bertemu mereka di mana-mana acara hiburan.
Menurut mereka, Mimi tidak pernah melepaskan peluang untuk menyapa setiap kali bertembung, malah tidak kisah duduk semeja menikmati hidangan tanpa rasa kekok.
“Kalau ada kami, dia tak akan terlepas untuk datang menyapa. Dari jauh dia akan jerit, ‘Caliph!’. Pernah diberi tawaran untuk iringi kami berjalan dengannya dalam satu sesi karpet merah sebuah majlis anugerah,” tulisnya.
Mimi juga dikatakan sering membantu apa yang perlu dan meluangkan masa berbual panjang jika berkesempatan, sekali gus menunjukkan betapa tingginya nilai hormat serta kemanusiaan dalam dirinya.
“Dia tak segan nak duduk makan semeja bersama kami. Bantu apa yang patut. Kalau ada masa, kami borak panjang. Kalau tidak, sambil lalu tetap borak sebentar. Orang hebat ni, karya dan pemikirannya,” katanya.
Perkongsian itu menarik perhatian warganet yang turut bersetuju dengan reputasi Mimi sebagai seorang rakan dalam industri yang tetap menjejak bumi meskipun namanya semakin dikenali.





