Phnom Penh: Jabatan Penjara Umum (GDP) Kemboja memindahkan 1,066 banduan, termasuk 67 wanita dari Penjara Wilayah Oddar Meanchey selepas serangan tentera Thailand berhampiran kemudahan itu.
Khmer Times melaporkan, pemindahan besar-besaran dijalankan pada malam Isnin dan berakhir pada jam 4.40 pagi keesokan harinya.
Difahamkan, sebanyak 32 kenderaan dan 221 pegawai dikerahkan untuk memindahkan banduan ke Penjara Wilayah Siem Reap, di mana mereka akan meneruskan tempoh tahanan.
Penjara Oddar Meanchey terletak hanya 50 kilometer (km) dari sempadan bersama Thailand.
GDP dalam kenyataan memaklumkan pemindahan itu dilakukan untuk mengelak risiko serangan lebih lanjut selepas bom dan peluru artileri Thailand mendarat berhampiran kemudahan penjara.
Pengarah Jabatan Penjara, Chhorn Sanath berkata, penjara itu berisiko tinggi menerima serangan susulan daripada pertempuran yang berlaku di sempadan.
“Situasi ini memerlukan tindak balas segera. Kami memulakan pemindahan pada jam 9.30 malam Isnin dan menamatkannya pada jam 4.40 pagi bagi memastikan keselamatan penuh sepanjang operasi,” katanya.
Ini adalah pemindahan kedua banduan dari Oddar Meanchey tahun ini, selepas lebih 1,000 banduan dipindahkan ke Siem Reap, Julai lalu berikutan pertempuran di sempadan.
Pada Februari, Sonadin berkata, terdapat 55,000 banduan di Kemboja, termasuk 3,300 wanita.
Menurut World Prison Brief, Kemboja mempunyai kadar penghuni penjara kedua tertinggi di dunia berdasarkan rekod hingga Julai 2023.
Licadho, kumpulan hak asasi tempatan pula berkata sehingga penghujung 2024, 18 daripada 19 penjara negara itu didapati padat dengan kapasiti 11 daripadanya melebihi 200 peratus.
© New Straits Times Press (M) Bhd




