Arina buru podium di Thailand

Arina buru podium di Thailand

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kepulangan peluncur papan selaju negara, Arina Fikri Rahman dari Finland kembali menyuntik warna dalam persiapan kontinjen menuju Sukan Sea 2025 apabila atlet berusia 34 tahun itu membawa bersamanya pengalaman segar dan keyakinan baharu untuk acara park lelaki yang akan bermula esok.

Jelas Arina, meskipun tempoh dua bulan dilihat agak singkat tetapi dirinya tidak mahu menjadikan itu sebagai alasan kerana semua fokus kini terarah kepada persembahan terbaik di Thailand nanti.

“Saya baru balik Malaysia dua bulan lepas. Jadi saya stay sini untuk berlatih dan bersedia ke Sukan Sea,” katanya.

Pernah menduduki tangga keenam pada edisi 2019 di Filipina, Arina mengakui semangatnya kini lebih membara untuk memperbaiki pencapaian terdahulu.

“Edisi lalu saya akhiri cabaran nombor enam, jadi saya rasa lebih bermotivasi untuk buat lebih baik dan nak buktikan kemampuan,” katanya.

Walaupun menetap di Finland bersama keluarga, perjalanan panjang pulang ke rantau ini tidak mengganggu rentaknya.

Malah, Arina memilih untuk berhenti seketika di Singapura bagi meneruskan latihan sebelum kembali ke Kuala Lumpur.

Katanya, penerbangan selama 13 jam bersama isteri dan anak kecil memaksanya transit tiga hari di republik itu bagi menggunakan kemudahan latihan yang lebih lengkap sebelum pulang ke tanah air.

Selain itu, Arina melihat tempoh berada di Finland banyak membantu dirinya meningkatkan prestasi terutama dengan menyertai beberapa kejohanan disertai atlet profesional.

Justeru, dirinya mensasarkan untuk membantu kontinjen negara dan membawa pulang satu pingat dari Thailand.

Biarpun fokus utama Arina adalah konsisten dalam setiap cubaan, dirinya tidak menafikan bahawa podium menjadi impian peribadinya selepas menunggu hampir enam tahun untuk kembali menebus peluang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top