Kes tembak Durian Tunggal: Polis terima rakaman audio, rekod keterangan 7 saksi

Kes tembak Durian Tunggal: Polis terima rakaman audio, rekod keterangan 7 saksi

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima rakaman audio yang didakwa mempunyai kaitan dengan insiden tembakan di Durian Tunggal, Melaka, yang diserahkan sendiri oleh ahli keluarga mangsa hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, bahan bukti berkenaan terkandung dalam telefon bimbit yang diserahkan kepada polis untuk siasatan

“Selain itu, sampel suara saksi tersebut turut diambil dengan bantuan pihak Cyber Security Malaysia (CSM) untuk tujuan analisa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Penyerahan bukti tersebut dibuat ketika ahli keluarga kepada tiga lelaki yang terbabit dalam insiden berkenaan hadir ke Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman pada jam 10.30 pagi tadi.

M Kumar berkata, dalam pertemuan itu, percakapan tiga orang ahli keluarga si mati dirakam dengan kehadiran tiga orang peguam.

Mengulas lanjut mengenai perkembangan kes, Datuk M Kumar memaklumkan bahawa siasatan kini diambil alih sepenuhnya oleh Pasukan Siasatan Khas, JSJ Bukit Aman.

“Setakat ini, Pasukan Siasatan Khas sudah merekodkan percakapan seramai tujuh orang saksi terdiri daripada tiga orang ahli keluarga si mati dan empat orang pegawai perubatan,” katanya.

PDRM menegaskan komitmen untuk menjalankan siasatan secara telus, adil dan profesional mengikut undang-undang sedia ada, serta tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top