asyikin.mat@hmetro.com.my
KECANGGIHAN teknologi masa kini bukan saja menjadi ikutan ramai, malah ada di antaranya ‘bertukar’ menjadi hobi bagi sebahagian lelaki.
Secara tidak langsung, teknologi turut membuka peluang kepada lelaki untuk meningkatkan taraf hidup mengikut gaya dan keperluan masing-masing.
Lebih menarik, hobi berasaskan teknologi turut menjadi ruang kepada lelaki untuk meredakan tekanan serta menikmati masa berkualiti.
1. Gajet pintar
Lelaki masa kini banyak bergantung kepada teknologi bagi memudahkan rutin harian dan gaya hidup aktif.
Jam tangan pintar bukan lagi sekadar aksesori, tetapi peranti kesihatan yang memantau tekanan, tidur, langkah dan kecergasan harian.
Telefon pintar pula hadir dengan kamera kecerdasan buatan (AI) yang membantu merakam momen hobi seperti mendaki, memancing atau aktiviti di gimnasium.
2. Rumah pintar
Konsep rumah pintar menjadi pilihan lelaki bujang, pasangan muda dan bapa.
Rumah ini dilengkapi lampu automatik, kunci pintu pintar dan pembersih hampagas robot yang kini dianggap keperluan asas kerana menjimatkan masa.
Dengan hanya satu aplikasi, pemilik boleh mengawal suhu bilik, peralatan elektrik atau memeriksa keselamatan rumah.
3. Kereta elektrik dan hobi automotif
Minat sebahagian lelaki terhadap automotif sentiasa meningkat dan kini terarah kepada kenderaan elektrik.
Ini menjadikan hobi automotif mereka lebih menarik, pelbagai dan futuristik.
Mereka juga gembar meneroka teknologi baharu termasuk aksesori digital kenderaan seperti pengecas pantas.
4. Permainan dalam talian
Ramai lelaki melihat permainan dalam talian bukan sekadar hiburan, tetapi cara untuk menghilangkan tekanan selepas kerja.
Ada yang sanggup berbelanja besar membeli kelengkapan permainan dalam talian untuk keselesaan dan kepuasan.
Tidak kurang juga yang menjadikan penstriman langsung sebagai hobi yang boleh menjana pendapatan.
Ia kebanyakannya dilakukan pada waktu malam selepas pulang kerja.
5. Fotografi dan dron
Ramai lelaki menjadikan fotografi sebagai ruang ekspresi diri seperti masuk ke hutan untuk merakam pemandangan semulajadi dan sebagainya.
Memadai membawa kamera ‘mirrorless’ yang kecil dan canggih bagi merakam imej disukai.
Penggunaan dron membantu mereka merakam panorama lebih menarik daripada sudut kreatif.
© New Straits Times Press (M) Bhd




