harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis mengesahkan penemuan janin bayi di dalam sebuah lori sampah di sekitar Bukit Jalil, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki tempatan pada 12.51 tengah hari, hari ini.
“Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras menerima laporan daripada seorang lelaki memaklumkan pekerjanya menemui janin bayi semasa memunggah sampah ke dalam lori di sekitar Bukit Jalil.
“Kes masih dalam siasatan, perkembangan akan dimaklumkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan menerusi Hotline Polis Kuala Lumpur, 0321159999, Hotline IPD Cheras, 0392845050 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Elfi di talian 01110048773.
Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat berkaitan kepada mana-mana balai polis berhampiran.
Terdahulu Harian Metro melaporkan penemuan objek dipercayai jasad bayi di dalam sebuah lori sampah menggemparkan penduduk di sekitar Bukit Jalil, di sini, hari ini.
Dua video berdurasi lapan dan 14 saat tular di media sosial memaparkan objek dipercayai mayat bayi ditemui dalam timbunan sisa dalam sebuah lori sampah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




