Besar pengorbanan Dr Akmal, derma RM120,000 tabungan haji untuk selamatkan nyawa Medina

Besar pengorbanan Dr Akmal, derma RM120,000 tabungan haji untuk selamatkan nyawa Medina

am@hmetro.com.my

Jasin: “RM120,000 itu saya simpan untuk menunaikan haji bersama isteri tahun depan. Namun apa ertinya ibadah jika nyawa kecil ini sedang bertarung?” itulah kata-kata menyentuh hati Ketua Pemuda UMNO merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.

Beliau menjadi sinar harapan buat keluarga kecil dari Serkam, Jasin, selepas kanak-kanak berusia dua tahun empat bulan, Nur Asyura Medina, yang menghidap Biliary Atresia sejak lahir memerlukan pembedahan segera di China.

Bapa kanak-kanak terbabit, Muhammad Ikmal Haziq Mazlan, 24, memaklumkan anaknya yang mesra dipanggil Medina memerlukan pembedahan pemindahan hati di dengan kos mencecah RM180,000.

Namun sejak dana bantuan dilancarkan bulan lalu, keluarganya hanya berjaya mengumpul RM62,000.

Muhammad Haziq Ikmal, berkata, dia sudah lama buntu memikirkan cara mendapatkan baki dana yang terlalu besar.

“Usaha mengumpul dana ini turut dibantu ADUN Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem, yang mewar-warkan usaha mengumpul dana bagi kos pembedahan itu.

“Setiap hari kami suami isteri menangis melihat baki yang ada, saya rasa hampir berputus asa.

“Kami tak tahu bagaimana mahu capai jumlah wang diperlukan,” katanya sebak ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pulai di sini, tadi.

Ujarnya, nasibnya berubah apabila Dr Muhamad Akmal tampil dengan sumbangan wang simpanan berjumlah RM120,000, yang sepatutnya digunakan untuk menunaikan haji bersama isteri.

Katanya, pengorbanan itu bukan sekadar bantuan kewangan tetapi menyelamatkan harapan yang hampir padam.

“Tidak semua orang sanggup korbankan impian demi anak orang lain. Pengorbanan dilakukan Dr Akmal dan isteri akan dikenang seumur hidup,” katanya lagi.

Sementara itu, Dr Muhamad Akmal, berkata meskipun Medina bukan menetap di DUN Merlimau namun beliau berasa bertanggungjawab untuk membantunya.

Bagi meneruskan rawatan dan kehidupan selepas pembedahan, keluarga itu masih memerlukan bantuan kos susu khas dan ubat-ubatan yang mencecah RM5,000 sebulan.

Orang ramai yang mahu membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi Akaun Bank Islam 05049020332559 atas nama Muhammad Ikmal Haziq Mazlan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top