Ling Ching sahkan pingat, Jun Hao dan Justin ikut jejak ke separuh akhir

Ling Ching sahkan pingat, Jun Hao dan Justin ikut jejak ke separuh akhir

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Wong Ling Ching tampil tenang dan penuh keyakinan apabila menjadi pemain perseorangan wanita pertama negara dalam tempoh enam tahun yang mengesahkan pingat di Sukan Sea, manakala Leong Jun Hao dan Justin Hoh turut menceriakan kem perseorangan lelaki selepas mara ke separuh akhir, hari ini.

Pemain nombor 46 dunia itu tidak berdepan masalah untuk menewaskan, Ni Kadek Amartya Pratiwi 21-11, 21-17 dalam masa 42 minit sekali gus menjadi pemain pertama memastikan podium sejak kejayaan emas S Kisona pada Sukan Sea Manila 2019.

Ling Ching, yang tetap beraksi biarpun mengalami demam sejak minggu lalu, bakal berdepan cabaran besar apabila bertemu pemain kegemaran tuan rumah dan bekas juara dunia, Ratchanok Intanon pada separuh akhir Sabtu ini.

Aksi cemerlang pemain kelahiran Sarawak itu turut ‘menaikkan aura’ rakan seperjuangan perseorangan lelaki, Jun Hao dan Justin yang bangkit menebus kekecewaan selepas prestasi hambar dalam final berpasukan lelaki pada Rabu lalu.

Prestasi mengejutkan daripada ketiga-tiga perseorangan ini memastikan Malaysia sekurang-kurangnya meraih tujuh pingat dalam acara individu selepas empat pasangan beregu turut menempah slot separuh akhir.

Pemain nombor 29 dunia Jun Hao menundukkan, Panitchapon Teeraratsakul 21-18, 21-16, manakala Justin menewaskan pemain tuan rumah, Kantaphon Wangcharoen 21-15, 21-17 pada suku akhir.

Aksi meyakinkan itu melegakan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Negara, Kenneth Jonassen.

“Semua pemain beraksi baik hari ini, termasuk Letshanaa. Tapi tiga pemain yang menang bukan sekadar menunjukkan prestasi baik, mereka mengambil peluang dan melakukannya dengan kemenangan,” kata Jonassen.

“Esok bukan hanya satu anak tangga lebih tinggi, tapi empat atau lima langkah dari sudut intensiti dan cabaran. Namun kita harus bawa keyakinan tambahan itu. Emosi yang kuat, keazaman dan strategi akan menentukan kejayaan.”

Jun Hao bakal berdepan sama ada pemain nombor 10 dunia, Loh Kean Yew, atau wakil Indonesia, Zaki Ubaidillah pada separuh akhir.

Justin pula akan menentang pilihan utama dari Indonesia, Alwi Farhan untuk mencari tiket final.

Namun pemain nombor 43 dunia, K Letshanaa tidak bernasib baik apabila tewas 18-21,13-21 kepada, Putri Kusuma Wardani sekali gus terkandas pada suku akhir.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top