Anugerah buat KRU rasa 'goosebumps', imbau momen kegemilangan

Anugerah buat KRU rasa 'goosebumps', imbau momen kegemilangan

georgie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kumpulan trio adik-beradik KRU merasa ‘goosebumps’ apabila kembali meraih kemenangan trofi Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular Anugerah Bintang Paling Popular Berita Harian ke-37 (ABPBH37) selepas dua dekad.

Anggotanya Datuk Norman Abdul Halim, 53, berkata kemenangan itu menandakan betapa jauhnya perjalanan mereka dan terimbau kegemilangan KRU sejak era 1990-an yang membawa ke tahap sekarang.

“Terus teranglah, saya rasa ada ‘goosebumps’. Rasa macam teringat tahun 1990-an dulu. Itu yang kali terakhir kami menang dan sewaktu itu memang dekad KRU pun.

“Apabila kami mula 1992 sampai tahun 2002, kami aktif buat konsert, buat album dan sebagainya. Alhamdulillah. Tapi saya rasa lagulah. Pada akhirnya, kerana lagu-lagu kami masih dimainkan,” katanya.

Norman juga berpendapat kemenangan itu adalah berkat sokongan kedua ibu bapa mereka.

“Legasi kami dalam industri hiburan sentiasa diteruskan adalah berkat daripada ibu bapa kami yang menyokong,” katanya.

Norman hadir bersama adiknya Datuk Yusry Abdul Halim pada ABPBH37 tanpa kehadiran Edry.

Yusry, 52, pula berkata tahun ini adalah refleksi besar dalam kerjaya mereka apalagi dengan penganjuran konsert meganya menjadi ‘cucuh’ kepada kebangkitan semula peminat untuk mereka.

“Disebabkan konsert itu, kami berjaya buat semangat peminat kami menyala untuk sertai perjalanan kami. Kalau sebelumnya yang disokong dan diundi di ABPBH adalah artis-artis muda kerana peminat mereka masih aktif,” katanya.

Sekadar info, kali terakhir KRU memenangi kategori yang sama adalah pada 1999 yang lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top