17 mangsa banjir Kampung Iboi terima rumah baharu

17 mangsa banjir Kampung Iboi terima rumah baharu

am@hmetro.com.my

Baling: Seramai 17 keluarga mangsa tragedi banjir puing pada 4 Julai 2022 di Kampung Iboi menerima kunci rumah baharu yang terletak di Kampung Bok Bak, Kupang, di sini, hari ini.

Majlis penyerahan itu disempurnakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang juga Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Kedah.

Saifuddin berkata, kesemua 17 keluarga itu daripada kediaman terjejas yang terletak di zon kuning.

“Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan berjumlah RM3 juta bagi pembinaan 17 unit rumah baharu lengkap dengan kemudahan infrastruktur, manakala proses mengambil alih tanah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dengan kos RM500,000.

“Saya sempat melihat sendiri keadaan rumah yang telah siap dan berpuas hati dengan kualiti pembinaan. Diharapkan ia dapat memberi keselesaan dan keselamatan kepada penerima,” katanya ditemui pada majlis penyerahan kunci rumah hari ini.

Saifuddin berkata, projek perumahan itu yang bermula 24 Mac 2024 berjaya disiapkan pada 25 Julai lalu, dan mengikut jadual hasil kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan negeri serta pihak berkaitan.

Beliau turut memaklumkan projek pembinaan Empangan Sabo bagi mengurangkan risiko banjir puing di kawasan berkenaan juga sudah siap sepenuhnya.

“Susulan banjir terburuk yang melanda Baling, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan RM22.8 juta untuk pembinaan Empangan Sabo.

“Beberapa bulan lalu saya meninjau projek tersebut dan mendapati prestasi kerja jauh ke hadapan, dan hari ini dimaklumkan ia telah pun siap sepenuhnya,” katanya.

Pada 4 Julai 2022, banjir puing mengorbankan tiga sekeluarga, iaitu wanita warga emas, anak lelakinya dan menantu yang sedang hamil empat bulan.

Kejadian itu juga mengakibatkan 12 keluarga hilang tempat tinggal, manakala kediaman 17 keluarga lain terjejas dan dikategorikan dalam zon kuning.

Fasa pertama projek perumahan bagi 12 keluarga siap pada Jun tahun lalu di Kampung Sadek, Kupang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top