Pertempuran maruah berakhir dengan emas

Pertempuran maruah berakhir dengan emas

sukan@hmetro.com.my

Bangkok: Malaysia akhirnya menamatkan penantian panjang selama 34 tahun apabila menjuarai pingat emas acara regu berpasukan lelaki sepak takraw Sukan Sea selepas menewaskan musuh tradisi, Thailand 2-1 dalam aksi final penuh mendebarkan di Nakhon Pathom, hari ini.

Kejayaan bersejarah itu menjadi emas pertama Malaysia dalam acara berkenaan sejak edisi 1991 di Manila, sekali gus mengakhiri penantian pemain sepak takraw negara.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan, menyifatkan kemenangan itu sebagai hasil kekuatan mental, keyakinan dan kepercayaan pemain sejak wisel pertama ditiupkan.

“Final ini bukan sekadar perlawanan teknikal, tetapi pertempuran semangat, maruah dan sejarah. Dari awal kami percaya kemenangan akan memihak kepada Malaysia kerana kesiapsiagaan mental dan ketenangan pemain,” katanya.

Malaysia bagaimanapun bermula dengan tekanan apabila regu pertama yang dibarisi Haziq Hairul Nizam, Muhammad Noraizat Nordin dan Amirul Zazwan Amir tewas tipis kepada trio Thailand, Pornthep Thinbangbon, Phutawan Sopa dan Marukin Phanmakon.

Kekalahan itu tidak melemahkan semangat pasukan, sebaliknya menyemarakkan kebangkitan regu kedua apabila Syahir Rosdi, Azlan Alias dan Farhan Adam tampil tenang dan berdisiplin untuk menyamakan kedudukan 1-1.

Regu ketiga menjadi penentu segala-galanya menyaksikan Zulkifli Razak, Afifudin Razali dan Aidil Aiman Azwawi mempamerkan ketahanan mental tinggi untuk menewaskan gandingan Thailand, sekali gus mengesahkan pingat emas milik Malaysia.

Sumali berkata, keinginan menamatkan kemarau hampir tiga dekad itu menjadi pembakar semangat, bukannya tekanan buat pemain.

“Keinginan kuat itu ditukar menjadi bahan bakar kemenangan. Kejayaan ini dibina melalui kesabaran, disiplin dan kepercayaan terhadap proses pembangunan jangka panjang,” katanya.

Sorakan ribuan penyokong tuan rumah tidak menggugat fokus pemain Malaysia, yang kekal tenang dan berdisiplin sepanjang perlawanan.

Menurut Sumali, kejayaan di pentas ini bukan sekadar bergantung kepada kekuatan fizikal atau taktikal semata-mata, sebaliknya memerlukan ketahanan mental dan semangat berpasukan yang tinggi.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia memenangi emas acara regu berpasukan lelaki ialah pada Sukan Sea 1991 di Manila, ketika ketua jurulatih negara kini, Ahmad Jais Baharun ini, masih beraksi sebagai pemain.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top