am@hmetro.com.my
Kulim: Sebuah kawasan penempatan yang menjadi rumah pekerja di kawasan perindustrian di Padang Meiha, di sini, diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam Ops Sapu yang dilakukan, awal pagi tadi.
Rumah pekerja terbabit yang mempunyai dua blok berkembar dua tingkat itu dihuni pekerja warga asing yang bekerja di sekitar kawasan industri berhampiran.
Tinjauan di lokasi mendapati, terdapat premis di bahagian hadapan dijadikan kedai runcit yang turut menjual minyak masak berpaket serta barangan keperluan harian untuk pekerja warga asing di situ.
Ketika serbuan dilakukan, kebanyakan mereka sedang nyenyak tidur sebelum dikejutkan dengan bunyi salakan anjing menandakan kehadiran pihak berkuasa.
Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi), Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, operasi yang bermula jam 1.20 pagi tadi itu membabitkan 30 pegawai penguat kuasa, bahagian penguat kuasa JIM Kedah.
Beliau berkata, serbuan dilakukan berdasarkan aduan awam yang diterima dan pihaknya melakukan pemeriksaan terhadap 33 warga asing yang terdiri daripada pekerja warga China, Bangladesh dan Myanmar yang menginap di rumah pekerja berkenaan.
“Daripada jumlah itu, seramai 16 orang iaitu 10 pekerja warga China, lima warga Bangladesh serta seorang warga Myanmar ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen.
“Ketika serbuan dilakukan, ada cubaan melarikan diri oleh pekerja warga asing terbabit namun atas kecekapan pihak kami, mereka berjaya ditangkap.
“Kesemua pekerja warga asing itu tidak semuanya menginap di rumah pekerja itu kerana ada sebahagiannya menumpang di situ kerana bekerja di sekitar kawasan perindustrian berhampiran,” katanya.
Lokman Effendi berkata, pihaknya sedang melakukan pemeriksaan lanjut di kawasan itu kerana ia adalah serbuan kali pertama dilakukan pihaknya.
Beliau berkata, semua 16 pekerja asing yang ditahan itu akan dihantar ke depoh tahanan Belantik di Sik.
“Sepanjang Januari hingga 16 April lalu, kita melakukan 227 operasi dan 2,756 daripadanya diperiksa yang membawa tangkapan seramai 658 warga asing yg melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.
“Selain itu, saya menasihatkan kepada majikan supaya tidak menggajikan warga asing yang tidak sepatutnya seperti yang tidak mempunyai pas bekerja dan ada lawatan sosial, tidak boleh bekerja tetapi diambil juga bekerja atau pun yang melebihi tempoh sepatutnya berada di negara ini, ” katanya.
Katanya lagi, sekiranya didapati bersalah, majikan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 56 (1) (d) Akta Imigreswn 1959/63
(Akta 155) memperuntukkan kesalahan bagi mana-mana individu yang dengan sengaja memberi perlindungan (harbour) kepada mana-mana orang yang diketahuinya atau mempunyai alasan munasabah untuk mempercayai telah melanggar Akta Imigresen iaitu kesalahan berat melindungi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).
© New Straits Times Press (M) Bhd




