MUMBAI: Syarikat penerbangan milik India, Air India menjadi sasaran penggodam siber apabila data sekitar 4.5 juta penumpangnya di seluruh dunia dicuri, menurut laporan syarikat penerbangan utama.
Nama, nombor kad kredit dan maklumat pasport adalah antara data yang dicuri, kata Air India dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.
“Pihak kami sangat kesal dengan tidak keselesaan yang ditimbulkan, bagaimanapun menghargai sokongan dan kepercayaan berterusan oleh penumpang kami,” kata syarikat gergasi milik negara itu.
Sejumlah syarikat penerbangan digodam dengan membabitkan kecurian data sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
British Airways sebelum ini dikenakan denda sebanyak $28 juta oleh pihak pengawasan negara itu pada tahun lalu, selepas maklumat 400,000 penumpangnya hilang dalam serangan siber pada 2018.
EasyJet pula memaklumkan pada tahun lalu penggodam mengambil maklumat menerusi e-mel dan maklumat perjalanan membabitkan kira-kira sembilan juta pelanggannya.
Air India pada Mac lalu mengumumkan sudah dimaklumkan oleh syarikat pemprosesan datanya, SITA PSS mengenai serangan siber berkenaan.
Pelanggaran itu membabitkan data peribadi yang didaftarkan antara Ogos 2011 dan Februari 2021, kata syarikat penerbangan berkenaan.
SITA, yang menyediakan perkhidmatan sandaran teknologi maklumat kepada sebahagian besar industri penerbangan mengatakan pada waktu itu menjadi sasaran ‘serangan yang sangat canggih’ yang mempengaruhi sejumlah syarikat penerbangan.
Air India adalah sebahagian daripada gabungan syarikat penerbangan Star Alliance dan SITA mengendalikan operasi perkomputeran untuk program penerbangannya yang kerap.
Syarikat penerbangan lain dalam gabungan itu memberi amaran kepada penumpang pada Mac lalu mengenai serangan siber terbabit, tetapi kebanyakan mengatakan hanya nama dan nombor penerbangan yang sering diakses. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




