ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kontinjen Malaysia menutup hari keenam Sukan Sea Thailand 2025, dengan penuh bergaya apabila meraih enam pingat emas, sekali gus mengukuhkan momentum negara dalam pemburuan pingat di temasya dwitahunan itu.
Kejayaan bermula di arena wushu taolu menerusi Tan Cheong Min yang mempamerkan aksi bertenaga untuk merangkul emas acara Nanquan–Nandao–Nangun wanita.
Dia kemudian bergandingan bersama Loh Ying Ting dan Pang Pui Yee bagi menghadiahkan satu lagi emas menerusi acara Duilian bersenjata wanita, sekali gus menyumbang dua emas penting buat kem wushu negara.
Di pentas gimrama, skuad wanita negara menamatkan penantian lapan tahun apabila meraih emas acara berpasukan sejak kejayaan terakhir pada edisi 2017.
Pasukan yang dibarisi Valeria Ng, Bernice See, Syamimi Amalia Shahrizam, Carol Yuan, Ng Joe Ee, Mavia Wong, Lim Xian Yar, Miai Ong Xiao Han dan Lai Yun Jo mempamerkan rutin konsisten untuk mengungguli podium.
Emas turut hadir dari arena olahraga apabila Andre Anura Anuar bangkit menebus kekecewaan dalam acara lompat kijang dengan menjuarai lompat jauh lelaki, sekali gus menamatkan kemarau 22 tahun Malaysia dalam acara berkenaan di Sukan Sea.
Dalam saingan snuker 6 red lelaki berpasukan, gandingan Lim Kok Leong, Moh Keen Hoo dan Thor Chuan Leong menepati ramalan apabila meraih emas, melengkapkan sasaran emas kem snuker negara selepas kejayaan awal Chuan Leong dalam acara individu.
Pencapaian emas hari keenam ditutup dengan kejayaan di kolam renang apabila Khiew Hoe Yean tampil cemerlang untuk merangkul emas acara 400 meter gaya bebas lelaki, mengukuhkan statusnya sebagai antara perenang terbaik negara di peringkat serantau.
Bagaimanapun, kecemerlangan itu gagal disambung skuad bola sepak bawah 23 (B-23) negara yang tewas 0-1 kepada tuan rumah dalam aksi separuh akhir, sekali gus menggagalkan harapan untuk membawa pulang emas.
Pasukan bimbingan Nafuzi Zain hanya akan beraksi bagi penentuan gangsa menentang Filipina selepas ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




