saifulaffendy@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Andre Anura Anuar menebus kekecewaan gagal mempertahankan pingat emas acara lompat kijang dengan mendominasi acara lompat jauh pada saingan Sukan Sea Thailand, hari ini.
Pada acara yang berlangsung di Stadium Nasional Supachalasai, Andre melakukan lompatan sejauh 7.71 meter (m).
Lebih manis Andre menamatkan kemarau 22 tahun Malaysia untuk memenangi acara berkenaan selepas kali terakhir dimenangi oleh Mohd Shahrul Amri Suhaimi pada edisi 2003 di Hanoi, Vietnam.
Perak milik bekas pemenang edisi 2023 di Kemboja, Janry Ubas dari Filipina (7.64m) manakala gangsa milik atlet Andrew George Medina dari Singapura (7.53m).
Andre masih lagi pemegang rekod kebangsaan bagi acara berkenaan, iaitu 8.02m ketika meraih pingat perak pada temasya Sukan Sea Filipina 2019.
“Acara lompat jauh memang lebih banyak tekanan. Kalau tengok catatan peribadi terbaik ketiga-tiga atlet terbaik harinya, kesemuanya pernah lakukan catatan lebih 8m.
“Tapi saya tahu kemampuan saya dan cuba kekal bertenang. Akhirnya saya berjaya juga memenangi pingat emas.
“Kejayaan hari ini juga menebus kekecewaan saya dalam acara lompat kijang sebelum ini,” katanya.
Pada acara lompat kijang, Khamis lalu, Andre melakukan lompatan 16.29m, hanya 0.04m memisahkan dirinya dengan emas yang raih atlet Vietnam, Ho Trong Manh Hung yang melakukan lompatan 16.33m.
Andre adalah pemenang bagi acara berkenaan pada edisi 2021 di Vietnam dan 2023 di Kemboja.
© New Straits Times Press (M) Bhd




