Terengganu jadi negeri ke-3 wujudkan pusat derma darah statik

Terengganu jadi negeri ke-3 wujudkan  pusat derma darah statik

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) cipta sejarah apabila muncul negeri ketiga selepas Lembah Klang dan Johor membuka pusat derma darah statik.

Pengarah JKNT Datuk Dr Kasemani Embong berkata, pembukaan pusat derma darah statik di pusat beli-belah itu bertujuan memberi ruang seluasnya kepada masyarakat untuk menderma darah.

Menurutnya, pembukaan pusat derma darah statik itu bukannya disebabkan JKNT mengalami kekurangan bekalan darah, sebaliknya sebagai inisiatif kepada masyarakat untuk menderma darah sambil membeli-belah.

“Jabatan Perubatan Transfusi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) menggunakan darah antara 60 dan 70 pain darah yang setiap satunya mengandungi 450 mililiter (ml) sehari.

“Setakat ini, bekalan darah terutamanya jenis O masih mencukupi untuk menampung keperluan pesakit setiap tahun,” katanya selepas merasmikan pusat derma darah statik di sebuah pusat beli-belah, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Perubatan Transfusi Darah HSNZ Dr Mohd Muhaimin Kambali.

Dr Kasemani berkata, antara kemudahan untuk orang ramai menderma darah di pusat itu adalah mereka tidak menghadapi masalah parkir kenderaan berbanding di HSNZ.

“Sambutan masyarakat terutama penderma darah sangat menggalakkan apabila kita berjaya mengumpul antara 30 dan 40 pain darah yang setiap satunya mengandungi 450 ml sehari sejak dibuka awal bulan ini,” katanya.

Dr Kasemani berkata, pusat derma darah statik yang terletak di tingkat dua Kuala Terengganu City Centre (KTCC) beroperasi setiap hari bermula 12 tengah hari hingga 8 malam, manakala pada 2.30 petang hingga 8 malam setiap Jumaat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top