nurul_husna@mediaprima.com.my
Mendekati hujung tahun yang kebetulan juga musim cuti sekolah yang panjang, pasti ramai yang merancang pulang ke kampung halaman.
Semestinya pemilik haiwan peliharaan terutama kucing, turut membawa pulang si bulus ke kampung.
Seperti manusia, haiwan juga perlukan persiapan tertentu untuk beradaptasi dengan persekitaran baru.
Bagi kucing peliharaan, haiwan itu juga terkesan dengan perubahan rutin atau persekitaran.
Jika terlalu mengejut, kucing peliharaan berkemungkinan akan tertekan selain kesihatannya terjejas.
Perkongsian Pegawai Veterinar, Hospital Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Nor Alimah Rahman, membantu pemilik kucing berdepan dengan isu perubahan persekitaran haiwan itu jika merancang membawa si bulus kesayangan pulang ke kampung.
Berikut antara saranan beliau kepada pemilik kucing peliharaan:
Persiapan perlu dilakukan pemilik kucing sebelum perjalanan.
1. Pastikan mendapat konsultasi dengan veterinar terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan.
Ia bagi memastikan kucing dalam keadaan sihat selain dirujuk untuk rawatan jika mempunyai masalah kesihatan.
Doktor veterinar boleh mencadangkan rawatan atau ubat sesuai untuk perjalanan jauh.
2. Pastikan kucing sudah menerima vaksinasi dan rawatan cacing serta parasit sebelum dibawa ke persekitaran baharu.
Ini bagi mengelak risiko penyakit yang boleh menjejaskan kesihatan si bulus ketika di kampung.
3. Bawa ubat-ubatan kucing dan simpan dalam bekas yang bersesuaian dengan label jelas.
Jika terdapat ubatan yang sensitif terhadap suhu, seperti suplemen probiotik, gunakan bekas berisi ais kering untuk memastikan ia kekal dalam keadaan baik.
Persiapan ketika kucing peliharaan ada di kampung:
1. Beri ruang dan masa kepada haiwan kesayangan anda menyesuaikan diri.
Kucing juga seperti manusia dan memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baru.
Berikan ruang untuk si bulus bersembunyi dan berasa selamat sebelum membiarkan ia meneroka kawasan baru secara perlahan-lahan.
2. Cuba kekalkan rutin harian kucing peliharaan seperti waktu makan, tidur, dan bermain.
Gunakan jenis pasir yang sama untuk tempat membuang air bagi mengelak kucing menahan diri daripada membuang air kerana perubahan bau atau tekstur pasir.
3. Penggunaan feromon sintetik untuk mengurangkan tekanan juga disaran jika dapat membantu menenangkan kucing.
Fungsi feromon sintetik ialah melepaskan bau menyerupai feromon semula jadi kucing peliharaan.
Pastikan cara penggunaan yang betul untuk mendapatkan kesan yang optimum.
4. Pastikan kawasan sekitar bebas daripada bahaya seperti haiwan liar, jalan raya yang sibuk atau bahan toksik yang boleh membahayakan kucing.
5. Penting juga untuk memastikan ahli keluarga di kampung tiada yang alah terhadap kucing.
Ini bagi memastikan suasana kekal harmoni dan selesa untuk semua.
© New Straits Times Press (M) Bhd




