anbia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tergamak sumbat dua ungka di dalam bagasi penuh pakaian sebelum cuba diseludup melalui penerbangan ke Mumbai, India.
Itu antara taktik seorang wanita tempatan dipercayai ahli rangkaian sindiket pemerdagangan haiwan liar dilindungi ketika cuba menaiki pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, kelmarin.
Dua ungka liar spesis Hylobates itu dipercayai dijerat secara haram di Indonesia sebelum diseludup masuk ke Malaysia.
Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, suspek wanita berusia 38 tahun itu ditahan pihak PERHILITAN bersama Polis Bantuan KLIA Terminal 1 dan Avsec KLIA yang melakukan pemeriksaan terhadap bagasi dibawanya sekitar jam 8 malam.
Menurutnya, hasil pemeriksaan menemui dua ekor haiwan disyaki spesies Hylobates (ungka) dianggarkan bernilai sekitar RM6,000.
“Suspek kemudian ditangkap dan dibawa ke Balai Polis Aeropolis untuk tindakan lanjut mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] dan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 [Akta 686].
Beliau percaya haiwan liar yang hampir pupus itu cuba diseludup dan dijual di pasaran gelap di India susulan permintaan tinggi di negara berkenaan.
“Ini bukan kali pertama haiwan eksotik cuba diseludup melalui KLIA berikutan seorang wanita turut pernah ditahan pada 29 Julai lalu.
“Wanita berusia 39 tahun itu cuba menyeludup sembilan ekor haiwan liar termasuk siamang, sugar glider dan seekor macaque bernilai RM127,000 ke India,” katanya.
Sebelum itu Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) turut menahan seorang lelaki tempatan yang cuba menyeludup keluar empat ekor ungka tangan hitam (spesies ungka) bernilai kira-kira RM30,000 di KLIA Terminal 1 pada Jun lalu.
“Manakala pada September lalu, seorang lelaki warga Malaysia berusia 46 tahun ditahan di KLIA ketika cuba menyeludup seekor ungka dan dua ekor kuskus (cuscus) ke Mumbai, India, menggunakan bagasi.
“Selain itu seorang warga India ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kempegowda di Bengaluru, India, selepas tiba dari KLIA. Pihak berkuasa menemui empat ekor anak siamang dan dua ekor anak beruk dalam beg bagasi dibawa suspek,” katanya.
Berdasarkan statistik sejak 2023 hingga 2025, rampasan hidupan liar di KLIA membabitkan pelbagai spesies seperti kura-kura, ular, burung, primat dan reptilia dengan nilai keseluruhan mencecah jutaan ringgit, menunjukkan laluan udara negara terus menjadi tumpuan sindiket penyeludupan hidupan liar antarabangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




