khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Rombakan kabinet yang diumumkan semalam memperlihatkan keazaman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi perhatian yang lebih kepada Sabah dan Sarawak.
Pensyarah Pusat Perdana Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Madya Dr Mazlan Ali berkata, ia selepas berlakunya perubahan terutamanya di Sabah apabila parti-parti dari Semenanjung ditolak dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) seperti DAP yang kalah dalam semua kerusi ditandinginya.
Mazlan berkata, disebabkan itu juga, ia menjadi perhatian Anwar serta diwujudkan sebuah lagi kementerian khusus untuk menjaga Sabah dan Sarawak.
“Datuk Mustapha Sakmud diangkat menjadi menteri penuh bagi menjaga Sabah dan Sarawak. Dengan adanya kementerian ini, penyaluran bajet terus kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan mudah dan penyampaian akan lebih cekap kerana menteri berkaitan akan memberi fokus.
“Rombakan kabinet membabitkan (portfolio) Sabah dan Sarawak ini antara fokus Perdana Menteri kerana membayangkan bahawa Kerajaan Persekutuan menghormati Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Banyak yang sudah dilaksanakan untuk faedah Sabah dan Sarawak ini khusus untuk menambah pembangunan, insfrastruktur, industri dan juga autonomi,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Menyentuh mengenai perubahan portfolio seperti Hannah Yeoh daripada Menteri Belia dan Sukan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Mazlan berpandangan, ia melegakan masyarakat Cina kerana majoriti daripada komuniti itu tinggal di Wilayah Persekutuan.
Selain itu katanya, isu masyarakat Melayu di Wilayah Persekutuan juga masih boleh ditangani oleh Datuk Bandar dan pengurusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Dengan pelantikan Hannah Yeoh sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, mungkin melegakan masyarakat Cina kerana majoriti komuniti Cina tinggal di Wilayah Persekutuan.
“Masyarakat Cina juga ada banyak isu tertunggak di Wilayah Persekutuan khususnya di Kuala Lumpur. Selama ini kerajaan banyak memfokuskan isu orang Melayu, sedangkan orang Cina juga berdepan banyak isu,” katanya.
Penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya (UM), Datuk Prof Dr Awang Azman Awang Pawi pula berpandangan, pertukaran portfolio Hannah ke Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) bukannya merupakan hukuman, tetapi reposisi strategik.
Katanya, ini disebabkan Wilayah Persekutuan yang terdiri daripada Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan adalah ‘showcase kerajaan’ membabitkan isu bandar, kos sara hidup, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan perumahan.
Menurutnya, bagi menteri seperti Nga Kor Ming dan Datuk Seri Tiong King Sing yang dikekalkan portfolio masing-masing, kedua-duanya dilihat mempunyai jalur sokongan komuniti tertentu seperti pengundi bandar Cina, sektor pelancongan dan pemain industri.
“Penyingkiran (mereka) boleh mencetuskan ketidakpuasan dalam blok sokongan tersebut, terutama menjelang Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Umum akan datang.
“Perdana Menteri memilih kestabilan sokongan teras berbanding risiko kehilangan kawasan pilihan raya utama,” katanya.
Awang Azman berkata, mengekalkan menteri tertentu dalam kabinet adalah sebahagian daripada ‘kiraan politik gabungan’, bertujuan bagi mengelakkan rasa terpinggir dalam parti komponen.
© New Straits Times Press (M) Bhd




