am@hmetro.com.my
Alor Gajah: Tiga individu termasuk wanita yang ditahan bersama sejumlah dadah selepas memecut kenderaan sejauh kira-kira 135 kilometer dari Serdang, Selangor ke daerah ini Sabtu lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Fairous Saad, 42, bersama dua lelaki, Mohamad Rafeq Mohd Johari, 23, dan M Udaya Kumar, 44, berdepan dua pertuduhan bersama memiliki serta tiga pertuduhan mengambil dadah.
Bagaimanapun, kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Dr Teoh Shu Yee terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, manakala Udaya mengaku bersalah bagi pertuduhan di bawah Seksyen 15(1)(a) akta sama.
Berdasarkan pertuduhan, mereka secara bersama didapati memiliki dadah jenis heroin seberat 2.16 gram dan methamphetamine 0.65 gram di persimpangan lampu isyarat Sungai Petai, dalam daerah Alor Gajah, kira-kira jam 9.50 malam, 29 April lalu.
Bagi kesalahan itu, mereka didakwa di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(1) serta 12(3) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara minimum dua tahun hingga maksimum lima tahun serta sebatan tidak kurang tiga dan tidak lebih sembilan kali, manakala satu lagi pertuduhan memperuntukkan denda tidak kurang RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, Fairous dan kekasihnya, Mohamad Rafeq turut didakwa mengambil dadah jenis methamphetamine, manakala Udaya mengambil morfin di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah akta sama dibaca bersama Seksyen 38B akta yang sama.
Sabit kesalahan tertuduh boleh didenda RM5,000 atau penjara untuk satu tempoh tidak lebih dua tahun dan perintah pengawasan selama dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasarudin manakala semua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Francis Augustine Soosay.
Mahkamah membenarkan ketiga-tiga tertuduh diikat jamin RM7,000 seorang bagi pertuduhan memiliki dadah dan RM2,200 seorang bagi pertuduhan penggunaan dadah.
Mahkamah menetapkan 16 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta serahan laporan kimia.
Sabtu lalu media melaporkan tindakan nekad tiga individu memecut kenderaan sejauh kira-kira 135 kilometer dari Serdang, Selangor ke daerah ini bagi meloloskan diri daripada polis gagal apabila dicekup bersama sejumlah dadah selepas terbabit kemalangan.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, kereta Honda City dinaiki dua lelaki dan seorang wanita dikesan dalam keadaan mencurigakan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Serdang sebelum diarahkan berhenti oleh anggota peronda polis (MPV) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang.
Suspek enggan memberi kerjasama malah terus memecut kenderaan merentasi beberapa kawasan sehingga memasuki daerah Alor Gajah.
Empat kereta polis mengejar suspek hingga ke persimpangan lampu isyarat Sungai Petai di sini apabila kereta dinaiki mereka hilang kawalan lalu merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max.
© New Straits Times Press (M) Bhd




